Kursus bahasa Arab di Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan satu subjek
elektif kepada pelajar peringkat ijazah sarjana muda. Kajian ini bertujuan mengkaji (1)
tahap penggunaan bahasa Arab lisan dalam kalangan pelajar UiTM, (2) hubungan
korelasi antara penggunaan bahasa Arab lisan dengan strategi pengurusan sumber yang
terdiri daripada empat subkomponen iaitu strategi pengurusan masa dan pembelajaran,
strategi pengurusan usaha, strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi mencari
bantuan, dan (3) perbezaan penggunaan strategi pengurusan sumber dalam kalangan
pelajar yang mempunyai tahap penggunaan bahasa yang berbeza. Kajian ini berbentuk
kajian campuran antara kuantitatif dan kualitatif yang menggunakan satu instrumen soal
selidik pembelajaran kendiri (self-regulated learning) dan temu bual pelajar. Data
kuantitatif melibatkan seramai 455 orang sampel yang dipilih berdasarkan teknik
persampelan rawak berstrata (stratified random sampling). Dapatan kajian menunjukkan
bahawa (1) tahap penggunaan bahasa Arab lisan dalam kalangan pelajar adalah
sederhana, malah penggunaan bahasa di luar kelas adalah lebih sederhana berbanding di
dalam kelas, (2) terdapat hubungan korelasi yang signifikan antara tahap penggunaan
bahasa Arab lisan dengan penggunaan strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi
pengurusan masa dan pembelajaran, serta (3) terdapat perbezaan yang signifikan dalam
penggunaan strategi belajar bersama-sama rakan dalam kalangan pelajar yang berbeza
tahap penggunaan bahasa Arab lisan. Kajian ini mencadangkan agar tahap pengunaan
strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi pengurusan masa dan pembelajaran
dapat dipertingkatkan supaya tahap penggunaan bahasa dalam kalangan pelajar juga
meningkat. Antara lainnya, ia dapat dilakukan melalui aktiviti berkumpulan secara
kolaboratif dan juga penggunaan pembantu pembelajaran dalam kalangan pelaja