3 research outputs found
Impak hasil berasaskan petroleum terhadap perbelanjaan awam di Malaysia
Kajian ini bertujuan untuk menilai sumbangan hasil cukai dan bukan cukai daripada sumber asli petroleum
terhadap perbelanjaan kerajaan persekutuan (perbelanjaan awam). Kaedah ekonometrik siri masa iaitu pendekatan
Autoregressive Distributed Lag (ARDL) digunakan untuk mengkaji impak hasil petroleum tersebut terhadap perbelanjaan
awam. Dapatan kajian menunjukkan cukai pendapatan petroleum, hasil daripada dividen PETRONAS dan hasil cukai
bukan petroleum signifikan mempengaruhi belanja awam secara positif dalam jangka panjang. Penemuan kajian
ini mencerminkan wujudnya keperluan kepada kerajaan persekutuan di Malaysia untuk memperkukuhkan lagi asas
kutipan cukai terutama daripada hasil cukai yang bukan berasaskan sumber asli bagi mengurangkan kebergantungan
pembiayaan perbelanjaan awam menerusi hutang awam
Perbelanjaan Awam dan Pertumbuhan Ekonomi: Bukti Empirik daripada Kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia
Kertas ini bertujuan mengkaji hubungan antara perbelanjaan awam dengan pertumbuhan ekonomi di peringkat kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia. Beberapa pemboleh ubah yang lain seperti hasil cukai, imbangan fiskal, dan jumlah populasi penduduk juga diambil kira dalam menganggar model persamaan. Kajian ini mengaplikasi ujian kointegrasi Johansen untuk menganalisis hubungan jangka panjang (kointegrasi) dan model vektor pembetulan ralat (VECM) untuk menentukan arah sebab-menyebab dalam jangka pendek dan jangka panjang dalam kalangan pemboleh ubah kajian. Keputusan kajian menunjukkan; pertama, tidak wujud hubungan jangka panjang antara output negeri dengan belanja awam di negeri Selangor. Kedua, di negeri Pahang dan Melaka wujud hubungan sebab-menyebab dua hala dalam jangka panjang antara output negeri dengan belanja awam. Ketiga, dalam jangka pendek, perubahan output signifikan menjadi penyebab Granger kepada perubahan perbelanjaan awam di Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Pulau Pinang, yang menyokong hipotesis Wagner. Sebaliknya, di negeri Pahang dan Perak, perubahan perbelanjaan awam signifikan menjadi penyebab Granger kepada perubahan output dalam jangka pendek, yang mengesahkan hipotesis Keynes di negeri tersebut.
Â
Kata kunci: Perbelanjaan awam, pertumbuhan ekonomi, ujian kointegrasi Johansen, VECM, VAR
Impak cukai dan caj perkhidmatan terhadap permintaan makanan di restoran
Dewasa ini, kerancakan pertumbuhan industri makanan dan minuman terutama sekali di bandar sebenarnya turut
disertai oleh permintaan pengguna terhadap kualiti perkhidmatan dan layanan yang baik daripada industri tersebut.
Lantas, bagi memenuhi kehendak pengguna itu, banyak restoran dilihat mula mengenakan caj perkhidmatan yang
diyakini mampu bertindak sebagai pengukur prestasi pelayan di restoran. Dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia
juga mengenakan cukai perkhidmatan terhadap restoran berskala besar memandangkan restoran ini kebiasaannya
dikunjungi oleh pelanggan yang berkemampuan sahaja. Kedua-dua fenomena ini telah mewujudkan dua persoalan
penting. Pertama, adakah cukai dan caj perkhidmatan mempengaruhi kekerapan kunjungan, jumlah perbelanjaan bagi
setiap kunjungan dan keputusan pengguna untuk makan di restoran atau bawa pulang makanan tersebut? Kedua,
adakah pengguna bersetuju dan berpuashati terhadap pelaksanaan cukai dan caj perkhidmatan di restoran tersebut?
Dengan mengaplikasi model logit dan kuasa dua terkecil terhadap data primer yang diperolehi menerusi pengedaran
soalselidik sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang dan Putrajaya, dapatan kajian membuktikan responden cenderung
meningkatkan kekerapan kunjungan serta cenderung berpuashati terhadap cukai dan caj perkhidmatan apabila ia
signifikan dipengaruhi secara positif oleh faktor harga berpatutan selepas dikenakan cukai dan/atau caj perkhidmatan.
Namun begitu, analisis terhadap persepsi responden menunjukkan responden tidak berpuashati dengan kadar cukai
dan kadar caj perkhidmatan yang dikenakan disebabkan makanan sudah mahal dan tidak setimpal dengan layanan
yang diberikan oleh pihak pengurusan restoran