2 research outputs found

    Persepsi masyarakat terhadap keperluan perkhidmatan kaunseling spiritual

    Get PDF
    Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti persepsi masyarakat terhadap keperluan perkhidmatan kaunseling spiritual dalam kalangan masyarakat di Daerah Alor Gajah, Melaka. Aspek spiritual dalam kaunseling merupakan perkara penting yang perlu diperkasakan dalam perkhidmatan kaunseling kerana banyak permasalahan dalam kehidupan dikenal pasti berpunca daripada masalah spiritual yang tidak diurus dengan baik. Kebanyakan daripada perkhidmatan kaunseling yang ditawarkan di Malaysia menggunakan pendekatan kaunseling berteraskan teori Barat yang kurang memberi penekanan kepada elemen spiritual dalam sesi kaunseling yang dijalankan. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan untuk menganalisis persepsi masyarakat terhadap keperluan perkhidmatan kaunseling spiritual dalam masyarakat. Kajian kuantitatif berbentuk deskriptif dan inferensi ini dijalankan ke atas 100 orang responden menggunakan borang soal selidik Client Attitudes Towards Spirituality in Therapy (CAST). Ujian kebolehpercayaan yang digunakan dalam kajian ini ialah analisis Alpha Cronbach dan bacaan untuk Religious Discussion ialah 0.79, manakala untuk perbincangan spiritual pula ialah 0.83 yang menunjukkan ketekalan dalaman adalah boleh diterima untuk kedua-dua ukuran. Data dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) yang menggunakan analisis Ujian-t dan ANOVA Sehala. Ujian Post Hoc dijalankan untuk menguji perbezaan yang ketara dalam pemboleh ubah yang dikaji. Dapatan kajian menunjukkan terdapat keperluan yang tinggi terhadap perkhidmatan kaunseling spiritual dalam kalangan responden. Kajian turut mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan berkaitan dengan persepsi masyarakat terhadap keperluan perkhidmatan kaunseling spiritual mengikut faktor demografi, iaitu jantina, tahap pendidikan dan umur. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan yang signifikan persepsi masyarakat terhadap keperluan perkhidmatan kaunseling spiritual mengikut faktor bangsa yang dikaji. Secara keseluruhan kajian ini memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa persoalan spiritual atau kerohanian dalam kaunseling merupakan satu keperluan yang perlu diberi perhatian wajar agar perkhidmatan kaunseling yang ditawarkan menepati keperluan manusia dan berupaya mengatasi masalah klien secara berkesan dalam usaha mencapai kesejahteraan hidup

    Identifikasi identiti biseksual dan hubungannya dengan aspek sokongan sosial dan kesihatan mental dalam kalangan individu biseksual di Melaka

    Get PDF
    Kajian ini dijalankan untuk mengidentifikasi identiti biseksual dan hubungannya dengan aspek sokongan sosial dan kesihatan mental dalam kalangan individu biseksual di Melaka. Dewasa ini biseksual merupakan fenomena yang semakin membimbangkan dan menjadi isu kontroversi di Malaysia kerana statistik amalan orientasi seksual songsang ini semakin meningkat walaupun ia jelas menyimpang daripada ajaran Islam dan norma masyarakat. Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan melihat sejauh mana hubungan antara sokongan sosial dan kesihatan mental dengan identiti biseksual yang diamalkan oleh individu biseksual. Untuk tujuan ini, satu tinjauan menggunakan soal selidik telah dijalankan ke atas 30 individu biseksual di Melaka. Kajian yang berbentuk deskriptif dan inferensi ini menggunakan borang soal selidik berkaitan demografi, Skala Identiti Lesbian, Gay dan Biseksual (Lesbian,Gay and Bisexual Identity Scale), Soal Selidik Sokongan Sosial (Social Support Questionnaire) dan Soal Selidik Simptom Psikotik Jangka Pendek (Brief Symptom Inventory). Data inferensi dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) Version 20 for Windows dengan kaedah Kolerasi dan ANOVA. Dapatan kajian menunjukkan individu yang terlibat mempunyai pengecaman identiti biseksual yang tinggi. Ini bermakna mereka mengamalkan gaya hidup sebagai seorang biseksual dalam kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, keseluruhan hipotesis yang dikemukakan oleh pengkaji menunjukkan tidak terdapat hubungan dan perbezaan faktor bangsa dengan kesemua pemboleh ubah yang dikaji
    corecore