3 research outputs found
Pelaksanaan amalan terbaik pengajaran Bahasa Melayu dalam kalangan guru sekolah rendah
Kajian ini dijalankan untuk meninjau tahap pelaksanaan Amalan Terbaik Pengajaran (ATP) Bahasa Melayu di bilik darjah dalam kalangan guru Bahasa Melayu sekolah rendah. Kajian ini disandarkan kepada ATP berpusatkan murid yang dicadangkan oleh Zemelman (2012). Kajian ini penting kerana pelaksanaan ATP selaras dengan kehendak Dokumen Standard Kurikulum Sekolah Rendah (2010). Namun, kajian-kajian lalu mendapati amalan terbaik pengajaran masih kurang diamalkan oleh guru-guru Bahasa Melayu di bilik darjah. Soal selidik digunakan bagi melihat tahap pelaksanaan ATP Bahasa Melayu dalam kalangan guru. 80 guru Bahasa Melayu yang dipilih melalui teknik pensampelan rawak berstrata berkadar dilibatkan dalam kajian ini. Ujian statistik deskriptif digunakan bagi menganalisis data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ATP yang diamalkan guru berada pada tahap tafsiran min tinggi. Secara keseluruhannya, berdasarkan keempat-empat prinsip ATP, iaitu pengajaran berasaskan pengalaman murid, holistik, autentik dan pengajaran berasaskan cabaran, prinsip pengajaran berasaskan pengalaman murid dan holistik paling tinggi diamalkan, iaitu pada skor min 3.28. Implikasi kajian mendapati bahawa ATP dapat meningkatkan kualiti dan memberi impak terhadap proses pengajaran dan pembelajaran bahasa
Tahap minat dan penerimaan murid terhadap bahan pengajaran dan pembelajaran gamifikasi dalam subjek bahasa Melayu sekolah rendah
Bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru mestilah terkini dengan inovasi
teknologi semasa bagi melahirkan murid yang berkebolehan abad ke-21. Bahan PdP berasaskan
gamifikasi ialah sejenis bahan PdP abad ke-21 yang menggabungkan kandungan pembelajaran
dengan mekanik permainan. Matlamat kajian ini adalah untuk menentukan sejauh mana minat
dan penerimaan murid terhadap penggunaan bahan PdP berasaskan gamifikasi dalam PdP
Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, metodologi kajian kuantitatif telah digunakan. Kajian ini
melibatkan 120 orang murid tahun lima dari sebuah sekolah rendah. Persampelan rawak mudah
bertujuan digunakan untuk memilih responden. Dapatan kajian mendedahkan bahawa murid
sekolah rendah mempunyai tahap minat yang tinggi, iaitu dengan tafsiran min 3.96. Selain itu,
tahap penerimaan murid terhadap bahan berasaskan gamifikasi juga menunjukkan tafsiran min
yang tinggi, iaitu 3.92. Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan bahan PdP berasaskan
gamifikasi adalah positif di sekolah rendah tersebut. Implikasi kajian ini akan membuka ruang
kepada kajian mengenai reka bentuk pembelajaran Bahasa Melayu berasaskan gamifikasi yang
mempunyai prospektif tinggi untuk diplikasikan dalam konteks PdP Bahasa Melayu
Hubungan antara lokasi sekolah rendah dan pengalaman mengajar guru bahasa Melayu sekolah rendah dengan amalan pengajaran mereka
Amalan Terbaik Pengajaran (ATP) merupakan amalan pengajaran guru yang
memberi penekanan terhadap pengajaran berpusatkan murid. Kajian ini penting dijalankan
kerana selaras dengan kehendak Dokumen Standard Kurikulum Sekolah Rendah KPM.
Namun, kajian terhadap ATP guru, khususnya guru Bahasa Melayu kurang dilaksanakan.
Tujuan kajian ini dijalankan adalah bagi mengkaji hubungan antara ATP guru Bahasa
Melayu dengan lokasi sekolah dan pengalaman guru. Bagi memperoleh data, kajian ini
menggunakan kaedah tinjauan yang melibatkan 160 guru Bahasa Melayu yang dipilih
melalui teknik persampelan rawak berstrata berkadar. Soal selidik digunakan bagi mengkaji
hubungan antara lokasi sekolah dan pengalaman guru dengan ATP guru Bahasa Melayu.
Hasil kajian mendapati tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah
dengan keempat-empat prinsip ATP kecuali ATP berpusatkan murid berasaskan Pendekatan
Autentik pada aras signifikan 0.01. Dapatan juga mendapati tidak terdapat hubungan yang
signifikan antara pengalaman mengajar guru dengan keempat-empat ATP berpusatkan
murid kecuali Pendekatan Holistik pada aras signifikan 0.01.Kajian ini menunjukkan
bahawa pelaksanaan ATP dalam kalangan guru Bahasa Melayu sekolah rendah tidak
berhubungan secara langsung dengan lokasi sekolah dan pengalaman mengajar guru,
kecuali dua jenis pendekatan sahaja, iaitu Pendekatan Autentik dan Pendekatan Holistik.
Kajian ini menunjukkan bahawa ATP tidak dipengaruhi oleh lokasi dan pengalaman guru