31 research outputs found
Tahap Kesedaran Kepentingan Pengurusan Makmal Sains Dalam Kalangan Bakal Guru Sains
Kajian ini berkaitan pengurusan makmal sains (PMS), untuk menilai tahap kesedaran dalam diri pelajar tahun tiga dan tahun empat Program Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Sains). Kajian ini berbentuk tinjauan dan menumpukan kepada dua aspek utama PMS iaitu pengurusan makmal dan keselamatan makmal. Pembolehubah manipulasi yang terlibat dalam kajian ini adalah tahun pengajian, latar belakang akademik dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK). Seramai 39 orang pelajar 3 SPN dan 4 SPN di Fakulti Pendidikan UTM, Skudai terlibat dalam kajian ini. Alat kajian yang digunakan adalah Soal Selidik Tahap Kesedaran Kepentingan Pengurusan Makmal Sains (STKKPMS). Alat kajian ini mengandungi 40 item yang berbentuk skala likert. Kebolehpercayaan alat kajian ini adalah α = .883. Analisis statistik deskriptif dalam bentuk min, sisihan lazim, peratusan, maksimum dan minimum telah digunakan bagi menentukan tahap kesedaran pelajar terhadap PMS. Dapatan kajian ini secara keseluruhannya menunjukkan tahap kesedaran pelajar terhadap kepentingan pengurusan makmal dan keselamatan makmal adalah tinggi iaitu pada 91.87%. Tahap kesedaran pelajar secara keseluruhannya terhadap kepentingan aspek pengurusan makmal sains juga tinggi iaitu pada 91.96%, manakala bagi aspek keselamatan makmal sains adalah sederhana iaitu pada 91.78%. Dapatan kajian juga menunjukkan tiada perbezaan tahap kesedaran pelajar terhadap kepentingan pengurusan dan keselamatan makmal merentas tahun pengajian, latar belakang akademik dan PNGK
Tahap kefahaman kemahiran menginferens dan memproses data dalam kalangan pelajar tahun dua pendidikan fizik
Penguasaan kemahiran saintifik yang lemah dalam kalangan pelajar telah menarik perhatian penyelidik. Penyelidikan ini dijalankan untuk mengkaji tahap kefahaman kemahiran saintifik dalam kalangan pelajar Tahun Dua program Pendidikan Fizik di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai sebelum dan selepas mengikuti kursus Pendidikan Amali Fizik I. Penyelidikan ini hanya melibatkan dua kemahiran saintifik sahaja iaitu kemahiran menginferens dan kemahiran memproses data. Seramai 36 orang pelajar lelaki dan perempuan daripada dua program pengajian terlibat sebagai responden penyelidikan ini. Reka bentuk penyelidikan adalah Reka Bentuk Ujian Sebelum-Ujian Selepas Satu Kelompok (One Group Pretest-Posttest Design) dengan kursus Pendidikan Amali Fizik I sebagai rawatan (treatment). Dua pembolehubah bebas digunakan dalam kajian ini iaitu program pengajian dan jantina. Alat kajian yang digunakan ialah Ujian Pencapaian Tahap Kefahaman Kemahiran Menginferens dan Memproses Data. Ia mengandungi 40 item berbentuk soalan objektif dan mempunyai nilai kebolehpercayaan, α = .88. Analisis statistik deskriptif dalam bentuk min dan sisihan lazim akan digunakan. Soal Jawab Terbuka Tahap Kefahaman Kemahiran Menginferens dan Memproses Data turut digunakan. Ia mengandungi 9 item dan dianalisis secara kualitatif. Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan tahap kefahaman kemahiran menginferens dan memproses data sebelum dan selepas mengikuti kursus Pendidikan Amali Fizik I adalah sederhana. Bagi program pengajian dan jantina, tidak terdapat perbezaan tahap kefahaman sebelum dan selepas mengikuti kursus Pendidikan Amali Fizik I. Kedua-dua program pengajian dan jantina mendapat tahap sederhana sebelum mengikuti kursus tersebut dan baik selepas mengikuti kursus tersebut. Ini menunjukkan usaha untuk meningkatkan tahap kefahaman kemahiran saintifik perlu dipergiatkan bagi melahirkan generasi yang bersedia menceburi bidang Sains dan Teknologi untuk pembangunan negara
Tahap Pengetahuan Bakal Guru Fizik Tentang Peraturan Dan Keselamatan Makmal
Tahap pengetahuan tentang peraturan dan keselamatan makmal adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kemalangan semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di makmal. Penyelidik memfokuskan kajian untuk mengukur tahap pengetahuan tentang peraturan dan keselamatan makmal dalam kalangan pelajar tahun empat Program Pendidikan Fizik. Reka bentuk kajian yang digunakan adalah berbentuk tinjauan. Kajian ini melibatkan dua pembolehubah bebas iaitu program pengajian dan jantina. Peserta kajian melibatkan 35 orang pelajar tahun empat Pendidikan Fizik yang mengikuti program Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Fizik) (SPF) dan Sarjana Muda Sains dan Komputer serta Pendidikan (Fizik) (SPP) dan terdiri daripada 8 orang lelaki dan 27 orang perempuan dalam julat umur antara 22-30 tahun. Alat kajian yang digunakan berbentuk ujian pencapaian yang dinamakan Ujian Pencapaian Tahap Pengetahuan tentang Peraturan dan Keselamatan Makmal dengan nilai kebolehpercayaan α = .83. Ia mengandungi 45 item berbentuk soalan objektif. Dapatan kajian dianalisis dalam bentuk analisis statistik deskriptif iaitu min, nilai sisihan lazim, nilai maksimum, nilai minimum, julat dan peratusan. Secara keseluruhannya, tahap pengetahuan tentang peraturan dan keselamatan makmal peserta kajian adalah baik. Terdapat perbezaan terhadap tahap pengetahuan tentang peraturan dan keselamatan makmal merentas program pengajian di mana tahap pengetahuan pelajar SPP adalah cemerlang manakala tahap pengetahuan pelajar SPF adalah baik. Bagi tahap pengetahuan tentang peraturan dan keselamatan makmal merentas jantina, didapati tahap pengetahuan pelajar lelaki adalah cemerlang manakala tahap pengetahuan pelajar perempuan adalah baik. Ini menunjukkan tahap pengetahuan bakal guru Fizik masih kurang, maka penekanan kepada kepentingan pengetahuan tentang peraturandan keselamatan makmal dalam proses P&P perlu dititikberatkan untuk melahirkan guru Fizik yang berwibawa dan memiliki pengetahuan yang cukup untuk menempuhi alam pekerjaan kelak
Tahap Kefahaman Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen Dan Mengeksperimen Dalam Kalangan Pelajar Tahun Empat Program Pendidikan Sains
Kefahaman pelajar terhadap kemahiran saintifik telah mendapat perhatian dalam kalangan penyelidik dalam bidang pendidikan Sains. Tahap kefahaman kemahiran proses sains iaitu kemahiran mereka bentuk eksperimen dan mengeksperimen dalam kalangan pelajar Tahun Empat Program Pendidikan Sains di Universiti Teknologi Malaysia telah dijalankan. Seramai 52 orang peserta kajian daripada Program Pendidikan Sains-Perdana dan Program Pendidikan Sains-Program Khas Pensiswazahan Guru terlibat dalam kajian ini. Terdapat dua pembolehubah bebas dalam kajian ini iaitu merentas jantina dan program pengajian. Kajian ini berbentuk tinjauan dan alat kajian yang digunakan ialah Ujian Pencapaian Tahap Kefahaman Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen dan Mengeksperimen dengan nilai kebolehpercayaan iaitu ά=.82. Terdapat 40 item dalam alat kajian ini yang berbentuk objektif. Analisis Statistik Deskriptif dalam bentuk min, sisihan lazim dan markat maksimum dan minimum telah digunakan dalam tatacara menganalisis data kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan mengeksperimen secara keseluruhannya adalah baik. Kajian ini juga mendapati terdapat perbezaan tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan mengeksperimen merentas jantina iaitu pelajar lelaki berada pada tahap kefahaman cemerlang dan tahap kefahaman pelajar perempuan adalah baik. Manakala merentas program pengajian pula Program Pendidikan Sains-Program Khas Pensiswazahan Guru berada pada tahap kefahaman cemerlang dan Program Pendidikan Sains-Perdana berada pada tahap kefahaman baik. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penerapan kemahiran mereka bentuk eksperimen dan mengeksperimen terhadap pelajar masih kurang mencukupi dan ini seterusnya boleh mempengaruhi pencapaian dan tahap kefahaman pelajar Program Pendidikan Sains
Tahap kefahaman kemahiran mengukur serta menggunakan nombor dan membina hipotesis dalam kalangan pelajar pendidikan fizik
Kemahiran Saintifik amat diberi penekanan dalam Kurikulum Sains terutamanya bagi mata pelajaran Fizik di Negara kita. Dalam konteks kajian yang dijalankan, penyelidik menguji tahap kefahaman kemahiran mengukur serta menggunakan nombor dan kemahiran membina hipotesis. Seramai 36 orang pelajar Tahun Tiga Pendidikan Fizik di Universiti Teknologi Malaysia iaitu 12 lelaki dan 24 perempuan akan terlibat dalam kajian ini. Terdapat dua pembolehubah bebas iaitu jantina dan program pengajian. Alat kajian yang digunakan ialah Ujian Pencapaian Tahap Kefahaman Kemahiran Mengukur Serta Menggunakan Nombor Dan Kemahiran Membina Hipotesis yang mengandungi 40 item berbentuk objektif aneka pilihan dengan masing-masing 20 item bagi setiap kemahiran. Kebolehpercayaan alat kajian ini adalah ? = .91. Statistik deskriptif dalam bentuk min, sisihan lazim, market maksimum dan minimum digunakan untuk menganalisis data. Dapatan kajian mendapati, secara keseluruhannya tahap kefahaman kemahiran mengukur serta menggunakan nombor dan kemahiran membina hipotesis ialah baik. Terdapat perbezaan tahap kefahaman merentas jantina di mana pelajar lelaki pada tahap baik dan pelajar perempuan berada pada tahap cemerlang. Terdapat perbezaan tahap kefahaman merentas program pengajian di mana pelajar 3 SPF (Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Fizik)) adalah cemerlang dan pelajar 3 SPP (Sarjana Muda Sains dan Komputer serta Pendidikan (Fizik)) pula berada pada tahap baik. Ini menunjukkan bahawa pelajar masih belum menguasai sepenuhnya Kemahiran Saintifik yang diamalkan sepanjang proses pembelajaran mereka
Tahap Kefahaman Kemahiran Manipulatif Dalam Kalangan Pelajar Tahun Empat Pendidikan Fizik
Tahap kefahaman dalam kemahiran saintifik dalam kalangan pelajar telah mendapat perhatian ramai para penyelidik. Kajian yang dilakukan oleh penyelidik ini adalah untuk menentukan tahap kefahaman kemahiran manipulatif dalam kalangan pelajar tahun empat Universiti Teknologi Malaysia yang sedang mengikuti program pengajian Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Fizik) dan Sarjana Muda Sains dan Komputer serta Pendidikan (Fizik). Terdapat tiga pembolehubah bebas dalam kajian ini iaitu jantina, program pengajian dan pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan. Seramai 44 orang pelajar lelaki dan perempuan daripada dua program pengajian yang puratanya berumur dalam 23 tahun terlibat sebagai responden dalam kajian ini. Reka bentuk kajian adalah berbentuk tinjauan dan alat kajian yang digunakan ialah Ujian Pencapaian Tahap Kefahaman Kemahiran Manipulatif yang mengandungi 40 item berbentuk soalan objektif. Kebolehpercayaan alat kajian ini ialah α = .65. Analisis statistik deskriptif dalam bentuk min dan sisihan lazim digunakan dalam tatacara menganalisis data. Secara keseluruhan, tahap kefahaman kemahiran manipulatif dalam kalangan pelajar tahun empat adalah baik. Dapatan kajian juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan tahap kefahaman pelajar merentas jantina dan program pengajian iaitu masing-masing berada pada tahap baik. Namun begitu, terdapat perbezaan tahap kefahaman merentasi Purata Nilai Gred Keseluruhan iaitu tahap kefahaman pelajar dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 2.00 hingga 3.66 adalah baik manakala pelajar dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan kurang daripada 2.00 berada pada tahap lemah. Berdasarkan keputusan kajian yang diperolehi, usaha-usaha perlu dibuat bagi mempertingkatkan lagi kemahiran pelajar tahun empat terhadap kemahiran manipulatif. Usaha ini adalah sebagai langkah untuk membentuk budaya saintifik dalam kalangan guru
Membangunkan Bahan E-Pembelajaran Berasaskan MOODLE Bagi Tajuk Dinamik Tingkatan Dua
Revolusi teknologi maklumat dekad ini ternyata memberi pengaruh yang meluas kepada kehidupan seharian. Ianya secara tidak langsung telah mengubah cara manusia bekerja. Apa yang lebih membanggakan ia turut memberi impak yang besar dalam sistem pendidikan negara dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, pembangunan bahan e-pembelajaran berasaskan MOODLE versi bahasa Inggeris yang bertajuk Dynamics telah dibangunkan. Projek ini telah menggunakan perisian terbuka (Course Management System) MOODLE Versi 1.9B4 bagi membangunkan bahan e-pembelajaran berasaskan web dan berdasarkan model ADDIE. Sistem MOODLE ini dianggap sesuai kerana rekabentuknya berasaskan Konstruktivisme Sosial yang menggariskan bahawa pembelajaran berlaku dalam konteks sosial dan pelajar membina sendiri pengetahuan baru berdasarkan pengalaman lepas. Kesepaduan antara elemen-elemen multimedia yang canggih seperti teks, grafik, audio, video dan animasi dapat memudahkan pelajar memahami konsep sains yang abstrak. Perisian Microsoft Office PowerPoint 2007 merupakan asas pembangunan bahan e-pembelajaran ini dan disokong oleh perisian-perisian lain seperti Adobe Photoshope CS2, Ulead Gift Animator 5, Macromedia Flash 8 dan Sony Vegas 8.0. Bahan pembelajaran yang dilengkapi dengan isi pelajaran, rumusan, capaian internet, kuiz, permainan, forum dan chatting mampu menjadikan ia pilihan yang sesuai sebagai media pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, pembangunan bahan e-pembelajaran berasaskan web ini dapat membantu guru terutamanya bagi mata pelajaran Sains dalam proses pengajaran agar pembelajaran pelajar lebih berkesan
Pembinaan dan penilaian kesesuaian modul pengajaran kendiri (MPK) respirasi biologi tingkatan empat KBSM merentas tempoh mengajar
Penggunaan bahan pengajaran yang bermutu tinggi adalah perlu bagi menjamin tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu tajuk pelajaran dan sekali gus meningkatkan keberkesanan proses P&P tersebut. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk membina dan menilai status kesesuaian tiga MPK Respirasi (MPK 1: Proses respirasi, MPK 2: Struktur respirasi dan mekanisme pernafasan, MPK 3: Proses pertukaran dan pengangkutan gas pada permukaan respirasi) merentas tempoh mengajar berdasarkan Model Teras-Cabang Shaharom (1994) dan berpandukan Huraian Sukatan Pelajaran Biologi KBSM Tingkatan Empat, 2001. Penilaian Formatif iaitu PFSS dan PFKK telah dijalankan merentas pemboleh ubah bebas iaitu tempoh mengajar bagi mengkaji status kesesuaian MPK Respirasi yang dibina. Seramai empat orang guru Biologi terlibat dalam PFSS dan lapan orang guru Biologi terlibat dalam PFKK. Satu set Soal Selidik Kesesuaian Modul Pengajaran Kendiri (MPK) (Guru) yang dibina oleh Shaharom (1994) telah digunakan sebagai alat kajian dalam penyelidikan ini. Data yang dikumpulkan dianalisis secara statistik deskriptif dalam bentuk min, sisihan min, maksimum dan minimum. Hasil kajian daripada PFSS dan PFKK terhadap kesesuaian MPK Respirasi merentas tempoh mengajar menunjukkan bahawa terdapat perbezaan status kesesuaian dalam PFSS iaitu 99.00-status amat sesuai (≥ 10 tahun) dan 95.83-status sesuai (< 10 tahun) manakala tiada perbezaan status kesesuaian dalam PFKK iaitu 109.25 (≥ 10 tahun) dan 97.00 (< 10 tahun) masing-masing status amat sesuai. Secara keseluruhannya, MPK Respirasi yang telah dibina diharapkan bermanfaat kepada pihak pelajar, guru, institusi pendidikan dan juga penggubal kurikulum
Pengajaran bermodul di sekolah menengah : perubahan konsep para pelajar tingkatan empat dalam pembelajaran mata pelajaran fizik
Perubahan konsep telah menarik perhatian para penyelidik Pendidikan Fizik sebagai salah satu aspek penting yang perlu diberi pertimbangan dan juga kajian. Dalam konteks kajian yang telah dijalankan, usaha telah dibuat untuk mengkaji perubahan konsep di kalangan para pelajar tingkatan empat. Seramai 158 orang pelajar telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Rekabentuk Kelompok Kawalan Tak Samaan telah digunakan. Kelompok percubaan telah menggunakan modul pengajaran kendiri yang menggunakan strategi pembelajaran penguasaan manakala kelompok kawalan mengikuti kaedah pengajaran tradisional. "Chi-Square' dan statistik deskriptif telah digunakan dalam tatacara menganalisis data. Tajuk Kekuatan dan Ketegaran akan digunakan sebagai contoh dalam perbincangan. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan pada aras a = .05 ke atas perubahan aras konsep Kekuatan dan Ketegaran. Keputusan kajian menunjukkan bahawa kaedah pengajaran bermodul merupakan salah satu kaedah pengajaran yang telah berjaya memperbaiki pengkonsepan para pelajar terhadap sesuatu konsep yang dipelajari dan seterusnya boleh memperbaiki pencapaian akademik mereka
Tahap penguasaan kemahiran berfikir kritis pelajar sains tingkatan empat
Kemahiran berfikir kritis ini merupakan kemahiran yang penting dalam proses pembentukan ciri-ciri warga negara maju. Kajian tentang tahap penguasaan kemahiran berfikir kritis pelajar telah dijalankan ke atas 269 orang pelajar tingkatan empat yang yang terdiri daripada 116 orang pelajar Ielaki dan 153 orang pelajar perempuan dari lima buah sekolah menengah di Daerah Kulai. Pelajar yang terlibat dalam kajian ini berumur antara 16 tahun hingga 17 tahun. Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah Watson Glaser Critical Thinking Appraisal-A (WGCTA-A) (adaptasi dari Sabaria. 2003) yang mengandungi 80 item. Reka bentuk kajian ialah tinjauan yang menggunakan soal selidik. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan statistik deskriptif datam bentuk min. sisihan lazim dan peratusan. Dapatan kajian menunjukkan Tahap Penguasaan Kemahiran Bertikir Kritis pelajar Sains tingkatan empat di Daerah Kulai secara keseluruhannya adalah pada tahap sederhana (50.41%). Dapatan kajian ini memberikan implikasi bahawa proses pengajaran dan pembelajaran perlu memberikan penekanan kepada proses penerapan kemahiran berfikir agar pelajar dapat meningkatkan tahap penguasaan Kemahiran Berfikir Kritis mereka