3 research outputs found

    Budaya konsumerisme dalam majlis perkahwinan orang Melayu dalam situasi pandemik Covid-19

    Get PDF
    Semua pasangan pengantin mahukan majlis perkahwinan mereka dilaksanakan secara gilang-gemilang. Gilang-gemilang bermaksud majlis perkahwinan itu perlu dipenuhi dengan komoditi dan perkhidmatan perkahwinan impian yang disediakan oleh pihak industri perkahwinan selari dengan konsep perkahwinan hanya berlaku seumur hidup sekali sahaja. Kajian ini berkaitan dengan pelaksanaan majlis perkahwinan normal baharu semasa pandemik Covid-19 yang sememangnya berbeza dengan pelaksanaan majlis perkahwinan orang Melayu sebelum pandemik Covid-19 yang sebelum ini bertunjangkan kepada pelaksanaan majlis perkahwinan impian. Kertas konsep ini telah menggunakan kaedah analisa kandungan ke atas bahan-bahan ilmiah seperti jurnal dan surat khabar yang berkaitan dengan pelaksanaan majlis perkahwinan orang Melayu sebelum pandemik Covid-19 dan semasa pandemik Covid-19. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat empat impak yang ketara dalam pelaksanaan majlis perkahwinan normal baharu kini, iaitu (1) pelaksanaan majlis perkahwinan perlu mematuhi SOP yang telah dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO); (2) perkahwinan secara dalam talian; (3) perkahwinan semata-mata mematuhi tuntutan agama; dan (4) kos perkahwinan lebih murah. Keadaan ini memperlihatkan bahawa dalam situasi pandemik Covid-19, orang Melayu sebenarnya boleh untuk melaksanakan majlis perkahwinan yang sederhana dan mengikut syarak tanpa memenuhi tuntutan adat yang dilihat kini lebih berkiblatkan kepada budaya kebendaan yang menuntut kepada aktiviti kepenggunaan untuk melaksanakannya

    Interaksi sosial di ruang maya: kajian kes jaringan sosial melalui laman Facebook di Malaysia

    Get PDF
    Interaksi sosial di laman sosial Facebook bukanlah perkara yang baharu. Malahan, mempunyai akaun Facebook dianggap sebagai satu kemestian untuk seseorang terus berhubung dengan rakan-rakan yang telah lama atau yang baharu dikenali. Namun, interaksi melalui laman sosial Facebook dikatakan masih mempunyai persamaan dengan interaksi sosial konvensional secara tatap muka, iaitu dari segi jenis, asas dan kesan tingkah laku berkenaan. Artikel ini bertujuan untuk membincangkan persamaan tersebut. Seramai 15 orang pelajar siswazah yang menginap di Kolej Keris Mas, UKM telah dikaji dengan menggunakan kaedah penyelidikan gabungan kuantitatif dan kualitatif. Hasil kajian mendapati bahawa corak interaksi sosial di Facebook sama seperti corak interaksi sosial konvensional. Jaringan interaksi sosial para aktor tersebut juga didapati bertindan lapis dengan jaringan persahabatan yang sedia ada. Tingkah laku para aktor di Facebook juga sama dengan tingkah laku secara konvensional dalam kehidupan seharian, terutamanya yang berasaskan minat, nilai dan sentimen. Kesan interaksi sosial di Facebook juga didapati sama dengan kesan interaksi konvensional seharian, iaitu dalam konteks sokongan sosial untuk mendapatkan maklumat, mudah menjalin hubungan, mengurangkan masalah kesunyian, mengurangkan tekanan dan mendorong aktor berfikiran lebih terbuka. Secara keseluruhannya, kajian ini menyimpulkan bahawa interaksi sosial di Facebook adalah sama seperti interaksi konvensional secara tatap muka

    Konsumerisme dan kelas sosial dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu

    Get PDF
    Majlis perkahwinan mempunyai signifikan dalam kehidupan orang Melayu sehingga menyebabkan kepenggunaan dalam perlaksanaannya menjadi komoditi perdagangan. Kepenggunaan dalam majlis perkahwinan telah mengalami evolusi dan mewujudkan kelas sosial. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk membincangkan sejauh mana komoditi yang digunakan memberi kesan ke atas kelas sosial orang Melayu. Artikel ini bertujuan pertama, mengetahui kepenggunaan dalam perkahwinan impian orang Melayu. Kedua, menjelaskan hubungan kepenggunaan dengan kesedaran kelas sosial. Dapatan kajian ini dianalisis menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah temu bual mendalam ke atas 12 pengantin perempuan yang telah melaksanakan majlis perkahwinan mereka di Kampung Melayu Seri Wira Damai, Kuala Lumpur. Soalan temu bual adalah berkaitan dengan kepenggunaan berdasarkan Teori Konsumerisme. Hasil kajian mendapati kepenggunaan perkahwinan orang Melayu mengambil kira konsumerisme seperti tema perkahwinan, lokasi perkahwinan, kanopi perkahwinan, barang hantaran, cenderamata perkahwinan, inai dan kad perkahwinan. Seterusnya, kepenggunaan dalam majlis perkahwinan impian adalah untuk meningkatkan kesedaran kelas sosial pengantin di dalam masyarakat. Tahap kewangan mempengaruhi perkahwinan impian dalam meningkatkan kesedaran kelas sosial. Perkahwinan impian orang Melayu telah membentuk budaya konsumerisme. Ia dikaitkan dengan aktiviti konsumsi yang dipengaruh oleh elemen yang penting iaitu golongan kapitalis dalam mencipta pasaran baharu bagi mendidik pengguna menjadi pengguna tegar dan impian untuk mendapatkan sesuatu komoditi dalam membentuk majlis perkahwinan impian. Keseluruhanya kepenggunaaan komoditi dalam melaksanakan majlis perkahwinan mempengaruhi peningkatan kesedaran kelas sosial
    corecore