7 research outputs found

    Kajian perbezaan latar belakang dan kecenderungan keusahawanan pelajar sekolah menengah di Terengganu

    Get PDF
    Malaysia sebagai sebuah negara membangun menggalakkan golongan belia supaya terlibat dalam keusahawanan dan menjadikannya sebagai satu bidang kerjaya pilihan. Namun begitu, tidak ramai rakyat Malaysia mengejar peluang keusahawanan yang disediakan oleh pihak Kerajaan untuk mereka. Justeru itu, tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji perbezaan latar belakang dan kecenderungan keusahawanan pelajar sekolah menengah menggunakan kaedah kuantitatif. Seramai 161 pelajar Tingkatan 4 yang mengikuti kelab keusahawanan daripada 16 buah sekolah menengah sekitar Negeri Terengganu dipilih untuk dijadikan responden kajian ini. Data kajian ini dianalisis menggunakan perisian SPSS. Kajian ini mendapati sebahagian besar (79.5 peratus) responden mempunyai pengetahuan keusahawanan pada tahap sederhana. Seterusnya, kajian ini mendapati sebahagian besar (61.5 peratus) responden mempunyai kemahiran dan (57.8 peratus) kecenderungan keusahawanan pada tahap tinggi. Selain itu, kajian ini juga mendapati terdapat perbezaan yang signifikan antara kemahiran keusahawanan dan kerjaya impian. Kajian ini selanjutnya mendapati terdapat perbezaan yang signifikan antara kecenderungan keusahawanan mengikut kerjaya impian, keaktifan dalam kelab dan tempat untuk menjalankan perniagaan. Dapatan kajian ini boleh dijadikan rujukan dalam usaha untuk meningkatkan bilangan usahawan muda. Kewujudan kelab keusahawanan adalah asas penting dalam usaha menyediakan pelajar menuju ke arah kerjaya keusahawanan seterusnya melahirkan usahawan muda pada masa depan

    Faktor-faktor penentu kecenderungan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah

    Get PDF
    Kecenderungan golongan muda terutamanya pelajar sekolah menengah melibatkan diri dalam kerjaya keusahawanan memberi kebaikan kepada negara. Bagaimanapun, SME Corp (2016) melaporkan kadar kecenderungan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Malaysia telah mencatatkan aliran menurun daripada 13 peratus (2012), 12 peratus (2013), 12 peratus (2014) kepada hanya enam peratus sahaja (2015/2016). Situasi ini memberikan gambaran bahawa bilangan usahawan semakin sedikit dan pelaburan Kerajaan bagi merangsang keusahawanan dalam kalangan golongan muda kurang mampu memberi manfaat kepada ekonomi negara untuk tempoh jangka panjang. Maka tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji faktor penentu kecenderungan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Terengganu. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melibatkan penggunaan borang soal selidik. Kajian ini melibatkan seramai 161 orang pelajar Tingkatan 4 yang mengikuti kelab keusahawanan di 16 buah sekolah menengah di Terengganu dipilih secara rawak mudah untuk dijadikan responden. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi seperti ujian Korelasi Pearson dan Regresi Pelbagai. Secara keseluruhannya, hasil kajian ini mendapati majoriti responden mempunyai kecenderungan keusahawanan pada tahap tinggi. Kajian ini juga mendapati kewangan, model peranan, halangan, pengenalan sosial, norma sosial, pengetahuan keusahawanan dan kemahiran keusahawanan adalah faktor penentu yang mempengaruhi kecenderungan keusahawanan dalam kalangan responden. Faktor penentu kemahiran keusahawanan paling dominan mempengaruhi kecenderungan keusahawanan dalam kalangan responden. Maka kajian ini mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya membuka lebih banyak kelab keusahawanan di sekolah menengah agar ramai pelajar dapat belajar kemahiran keusahawanan dalam situasi sebenar pada usia belasan tahun kerana mempengaruhi kecenderungan mereka menceburi kerjaya keusahawanan

    Pola perubahan sosiobudaya dan mobiliti sosial dalam kalangan komuniti muara di Pantai Timur Semenanjung Malaysia

    Get PDF
    Persoalan perubahan sosiobudaya dan mobiliti sosial komuniti muara adalah satu persoalan penting dalam keseluruhan kajian mengenai perubahan sosial. Dalam dua dekad lebih ini, proses modenisasi berkembang pesat dan memberi kesan mendalam ke atas komuniti ini. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji isu berkaitan perubahan sosiobudaya dan mobiliti sosial komuniti muara di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kaedah tinjauan ke atas 596 orang responden, temu bual dan pemerhatian telah dijalankan keatas 6 buah perkampungan nelayan di muara sungai yang terletak di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Dapatan kajian menunjukkan aspek sosiobudaya melalui aktiviti kejiranan dalam komuniti muara masih kuat dan menjadi amalan tradisi. Mobiliti sosial melalui jenis pekerjaan juga telah berubah, iaitu pekerjaan sebagai nelayan untuk sumber pendapatan ekonomi utama telah beransur-ansur kurang menarik minat generasi muda. Kebanyakan generasi muda lebih berminat bekerja di darat berbanding menjadikan lautan sebagai sumber rezeki. Keadaan komuniti semakin terbuka memungkinkan berlakunya mobiliti sosial dalam kalangan generasi muda. Transformasi komuniti muara berdasarkan kepada aspek pendidikan dialami oleh empat generasi dikaji sama ada generasi datuk, bapa, responden dan anak. Bermula pada zaman sebelum merdeka, pasca merdeka dan menjelang abad ke-21 ‘tangga’ mobiliti berdasarkan tahap pendidikan semakin diakui kepentingannya oleh komuniti muara sebagai syarat utama untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik

    Analisis keperluan pembangunan pusat transformasi luar bandar (RTC) Terengganu

    Get PDF
    Kajian ini bertujuan untuk menentukan keperluan penduduk setempat yang tinggal di sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar atau Rural Transformation Center (RTC) Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Kajian ini menggunakan pendekatan campuran iaitu kaedah kuantitatif dan kualitatif. Kajian ini menggunakan borang soal selidik untuk pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif. Data kuantitatif dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS). Data kualitatif pula dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Kajian ini mendapati majoriti responden memerlukan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Didapati juga ada dalam kalangan responden mengatakan RTC perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Di samping itu, temubual dengan pelanggan dan kakitangan agensi kerajaan di RTC pula mendapati pelaksanaan inisiatif perkhidmatan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, aktiviti zon agro istimewa dan aktiviti promosi berada pada tahap rendah dan memerlukan perhatian yang sewajarnya. Manakala perbincangan kumpulan sasar seperti penyewa, pekerja dan penduduk sekitar, pemimpin tempatan dan anak syarikat Ketengah mendapati mereka menghadapi isu tempatan dan memerlukan tindakan penyelesaian daripada pihak Ketengah

    Kecenderungan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negeri Terengganu

    Get PDF
    Kajian ini bertujuan untuk meninjau kecenderungan keusahawanan pelajar sekolah menengah di negeri Terengganu yang mengikuti Program Tunas Niaga. Kajian ini dijalankan secara pendekatan kuantitatif dengan menggunakan kaedah tinjauan digunakan. Sampel kajian terdiri daripada 379 orang pelajar menjadi ahli Program Tunas Niaga di 41 buah sekolah menengah yang dipilih secara rawak mudah untuk menjawab borang soal selidik. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa sebahagian besar pelajar Program Tunas Niaga mempunyai kecenderungan menceburi bidang keusahawanan pada tahap tinggi. Faktor-faktor peramal seperti kewangan, model peranan, personaliti, halangan, pengenalan sosial, norma sosial, pengetahuan keusahawanan dan kemahiran keusahawanan mempunyai kaitan kecenderungan menceburi bidang keusahawanan. Penemuan kajian ini memberi peluang kepada pihak berwajib meningkatkan usaha dan mengubah pendekatan untuk membawa perubahan kepada generasi muda supaya lebih cenderung menceburi bidang keusahawanan dan membentuk masyarakat perdagangan dan perniagaan Bumiputera Melayu

    Pembangunan modal insan : kajian kes Program Tunas Niaga Terengganu

    Get PDF
    Program Tunas Niaga ialah satu program pembangunan modal insan untuk memberikan kesedaran kepada pelajar sekolah menengah mengenai kepentingan keusahawanan dalam ekonomi negara. Programini bukan sahaja boleh memberi pengetahuan dan kemahiran keusahawanan kepada pelajar, malah membantu mereka membuat peralihan kerjaya selepas menamatkan program dan pengajian mereka. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengukur pengetahuan dan kemahiran keusahawanan pelajar sekolah menengah yang mengikuti Program Tunas Niaga. Kajian ini memilihkaedah kuantitatif dengan menggunakan instrumen untuk mengetahui tahap pengetahuan dan kemahiran keusahawanan pelajar. Di samping itu, kaedah temu bual tidak berstruktur pula digunakan untuk mengetahui masalah yang dihadapi pelajar ketika mengikuti Program Tunas Niaga dan kaedah penyelesaiannya. Seramai 379 orang pelajar yang menjadi peserta Program Tunas Niaga di negeri Terengganu terlibat dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati pelajar menyatakan mereka mendapat pengetahuan dan kemahiran keusahawanan setelah mengikuti Program Tunas Niaga.Keputusan ujian Post Hoc ANOVA Tukey pula mendapati wujud perbezaan pengetahuan keusahawanan antara peserta Program Tunas Niaga yang mempunyai bapa bekerja dengan kerajaan dan swasta.Selain itu, kajian inimendapati wujud beberapa buah sekolah menengahyang masih tidak aktif menjalankan Program Tunas Niaga dan ada peserta gagal menghadiri program ini kerana sibuk membuat tugasan lain.Masalah ini tidak dapat membantu menyuburkan potensi dan bakat pelajar sekolah kerana menyulitkan mereka untuk terlibat dalam aktiviti Program Tunas Niaga. Diharapkan kajian ini mampu merangsang pihak pengelola Program Tunas Niaga dan pengeraknya agar dapat memainkan peranan lebih aktif dalam mengadakan aktiviti-aktiviti keusahawanan sekolah supaya pelajar mampu melakukan kerja sehingga menghasilkan nilai ekonomi

    Hubungan antara faktor peramal dan kecenderungan kerjaya keusahawanan dalam kalangan ahli Program Tunas Niaga

    Get PDF
    Program Tunas Niaga (PROTUNe) adalah pendekatan pembudayaan keusahawanan untuk pelajar sekolah menengah. Program ini dilihat berpotensi memenuhi agenda Kerajaan bagi menggalakkan generasi muda cenderung memilih keusahawanan sebagai pekerjaan mereka dan memantapkan ekonomi negara pada masa hadapan. Justeru, pihak Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Terengganumenjadi agen pelaksana PROTUNe peringkat negeri dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkanpelajar sekolah menengah yang mempunyai kecenderungan ke arah kerjaya keusahawanan. Maka tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji hubungan antara faktor peramal dan kecenderungan kerjaya keusahawanan dalam kalangan pelajar yang menjadi ahli PROTUNe. Pada tahun 2014, terdapat seramai 593 pelajar yang menjadi ahli PROTUNe dari 21 buah sekolah menengah di sekitar pesisir pantai Negeri Terengganu. Namun begitu, kajian ini hanya melibatkan seramai 197 pelajar dalam kalangan ahli PROTUNe dan dipilih secara rawak mudah sebagai responden. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan iaitu borang soal selidik untuk mengumpul data daripada responden. Data responden dianalisis menggunakan Pakej Statistik untuk Sosial Sains (SPSS) melalui analisis deskriptif dan regresi. Kajian ini mendapati sebahagian besar responden sangat cenderung menceburi kerjaya keusahawanan. Manakala personaliti, kemahiran keusahawanan dan kewangan dikenal pasti sebagai faktor peramal yang mempunyai hubungan dengan kecenderungan responden menceburi kerjaya keusahawanan. Oleh itu, pihak kerajaan mesti meneruskan PROTUNe untuk memupuk kecenderungan pelajar ke arah kerjaya keusahawanan supaya mereka sentiasa dekat dengan perniagaan
    corecore