2 research outputs found

    Kesediaan untuk berubah dalam kalangan guru sekolah rendah di negeri Kelantan

    Get PDF
    Kajian ini merupakan sebuah kajian kuantitatif menggunakan kaedah tinjauan. Kajian ini bertujuan menentukan tahap kesediaan untuk berubah dalam kalangan guru sekolah rendah di seluruh negeri Kelantan. Daripada jumlah 16, 305 orang guru sekolah rendah di seluruh negeri Kelantan, seramai 413 orang telah dipilih sebagai responden kajian. Data berkaitan 6 dimensi kesediaan untuk berubah (kewajaran berubah, sokongan pengurusan, efikasi, valens personal, diskrepansi, dan komunikasi) dikumpul menggunakan kaedah soal selidik. Nilai pekali alpha bagi soal selidik yang digunakan adalah dalam julat di antara 0.812- 0.948. Kajian mendapati guru mempunyai tahap kesediaan untuk berubah yang tinggi. Didapati min bagi dimensi luaran (sokongan pengurusan, komunikasi) kesediaan berubah lebih tinggi daripada min dimensi dalaman (efikasi, valens personal). Guru-guru bersedia untuk berubah sekiranya faktor luaran dapat dipenuhi. Kesediaan untuk berubah guru didapati berbeza mengikut jantina dan tempoh berkhidmat. Tahap kesediaan berubah guru lelaki didapati lebih tinggi berbanding guru perempuan, terutamanya bagi dimensi sokongan pengurusan dan kewajaran berubah. Guru-guru baharu menunjukkan tahap kesediaan untuk berubah lebih tinggi daripada guru-guru lama, terutamanya bagi dimensi komunikasi, diskrepansi dan sokongan pengurusan

    Nilai kerja, kesediaan untuk berubah guru dan perubahan budaya kerja organisasi dalam kalangan guru sekolah rendah di negeri Kelantan

    No full text
    Kajian ini merupakan sebuah kajian kuantitatif menggunakan kaedah tinjauan. Data dianalisis secara deskriptif dan inferential menggunakan aplikasi SPSS versi 22.0. Kajian ini bertujuan menentukan nilai kerja penting, kesediaan untuk berubah guru dan perubahan budaya kerja organisasi serta impak faktor demografi, nilai kerja dan kesediaan untuk berubah guru terhadap perubahan budaya kerja organisasi dalam kalangan guru sekolah rendah di negeri Kelantan. Seramai 413 orang guru sekolah rendah di negeri Kelantan telah dipilih sebagai responden kajian. Data berkaitan 12 jenis nilai kerja, 6 dimensi kesediaan untuk berubah dan 6 dimensi perubahan budaya kerja organisasi dikumpul menggunakan kaedah soal selidik berstruktur melalui tiga instrumen: instrumen nilai kerja daripada Zakaria Kasa (2005), instrumen kesediaan untuk berubah Holt (2002) dan instrumen perubahan budaya kerja organisasi daripada ′Shared Organizational Schema’ (Lau et al., 2003) yang diterjemah dan digunakan oleh Abdullah et al. (2008). Nilai pekali alpha bagi ketiga-tiga instrumen ini adalah tinggi (0.812 hingga 0.974). Kajian mendapati 5 nilai kerja utama yang penting bagi guru sekolah rendah adalah perkembangan diri (3.43), keselamatan ekonomi (3.42), altruisme (3.41), pencapaian (3.37) dan ganjaran ekonomi (3.33). Nilai kerja didapati berbeza mengikut status perkahwinan, tempoh berkhidmat dan kelulusan akademik. Guru-guru berkahwin mempunyai min nilai kerja yang lebih tinggi berbanding guru bujang/ duda/ janda. Guru-guru berkelulusan sarjana didapati mempunyai min nilai kerja yang lebih tinggi berbanding guru-guru berkelulusan lebih rendah. Guru-guru lama (>20 tahun) mempunyai min nilai kerja yang lebih tinggi berbanding guru-guru baharu (1-5 tahun). Guru mempunyai kesediaan untuk berubah yang tinggi (4.88). Dua dimensi utama dalam kesediaan untuk berubah adalah kewajaran berubah (5.13) dan komunikasi (5.12). Kesediaan untuk berubah guru berbeza mengikut tempoh berkhidmat. Guru lelaki mempunyai min kesediaan untuk berubah (4.83) lebih tinggi berbanding min kesediaan untuk berubah guru perempuan (4.69). Guru-guru baharu mempunyai min kesediaan untuk berubah (4.88) yang lebih tinggi berbanding guru-guru lama (4.85). Dapatan juga menunjukkan min perubahan budaya kerja organisasi yang tinggi (5.21). Dua dimensi utama bagi perubahan budaya kerja organisasi adalah kepuasan kerjaya (5.54) dan impak perubahan (5.36). Perubahan budaya kerja organisasi berbeza mengikut tempoh berkhidmat. Guru-guru baharu mempunyai min perubahan budaya kerja organisasi (5.49) yang lebih tinggi berbanding guru-guru lama (5.35). Nilai kerja didapati mempunyai hubungan yang lemah dan memberi impak yang kecil (8.8% varians) terhadap perubahan budaya kerja organisasi. Dapatan kajian menunjukkan 5 faktor xxi demografi (jantina, status perkahwinan, tempoh berkhidmat, kelulusan akademik, dan gred perkhidmatan) menyumbang sebanyak 3.1% varians dan kesediaan untuk berubah guru pula menyumbang sebanyak 62.3% terhadap perubahan budaya kerja organisasi. Kajian ini memberikan implikasi kepada guru dan semua pihak yang bertanggungjawab merancang dan mengurus perubahan terhadap profesion perguruan dalam usaha memastikan guru mempunyai nilai kerja penting yang berorientasikan perkhidmatan dan terus bersedia untuk berubah. Kesimpulannya, kajian mendapati guru-guru lebih mementingkan nilai kerja berorientasikan keperluan diri berbanding nilai kerja berorientasikan keperluan perkhidmatan. Guru-guru juga didapati mempunyai kesediaan untuk berubah dan perubahan budaya kerja organisasi yang tinggi. Kesediaan untuk berubah merupakan penyumbang yang besar ke atas perubahan budaya kerja organisasi
    corecore