4 research outputs found
Implimentasi elemen motivasi intrinsik terhadap pembangunan diri remaja di Pusat Motivasi Alihan Pelajar (MAP): analisis dari perspektif Islam
Remaja adalah generasi penting kepada masa depan negara. Walau bagaimanapun, dalam menelusuri cabaran era globalisasi kini, negara amat memerlukan remaja yang membangun secara holistik dari aspek spiritual, emosi, intelek, sosial dan fizikal. Motivasi intrinsik yang sejajar dengan tuntutan Islam menjadi keperluan penting kepada remaja untuk mendepani cabaran tersebut. Dalam hal ini, pendidikan sepanjang hayat menerusi program motivasi bermodul adalah salah satu pendekatan yang berperanan membentuk motivasi remaja dalam ruang lingkup agama. Namun, sejauhmana peranan tersebut digalas dengan baik masih kurang dibincangkan. Sehubungan itu, makalah ini akan mengupas elemen motivasi intrinsik dalam modul pembangunan diri yang telah digunapakai oleh Pusat Motivasi Alihan Pelajar (MAP). Sebagai satu pusat motivasi yang berkonsep Islam, MAP telah bertanggungjawab memastikan konsistensi penggunaan modul pembangunan diri selama lebih dari lima belas tahun untuk membangunkan motivasi cemerlang dalam kalangan remaja muslim. Dengan menggunakan metode analisis kandungan modul, temubual dan pemerhatian turut serta, setiap elemen motivasi intrinsik dikupas daripada modul tersebut menurut perspektif Islam. Berdasarkan dapatan analisis, beberapa tema telah dikenalpasti daripada kesemua sebelas slot yang dimuatkan dalam modul tersebut iaitu pembangunan potensi diri, matlamat hidup, keupayaan menilai dan membuat keputusan berdasarkan sunnatullah dan syariatullah serta pengantungan kepada Allah. Kesemua tema ini didapati telah menerapkan keempat-empat elemen motivasi intrinsik daripada perspektif Islam iaitu niat, al-Thabat, iltizam dan penghayatan serta elemen al-'Afaf. Oleh yang demikian, paradigma yang digunakan di dalam modul ini boleh menjadi rujukan kepada semua pihak yang bertanggungjawab untuk membentuk pembangunan diri remaja yang lebih holistik
Perkembangan program pemulihan agama remaja di penjara
Program pemulihan agama di penjara merupakan sebahagian daripada program pemulihan utama yang dilaksanakan di penjara Malaysia. Pada awal perkembangan pemulihan di penjara untuk remaja, mereka dipenjarakan bersama tahanan dewasa. Percampuran tahanan remaja dan banduan dewasa ini menimbulkan pelbagai masalah kepada tahanan remaja seperti melambatkan proses meninggalkan tabiat buruk, masalah kesihatan mental, meningkatkan risiko residivis, merendahkan peluang untuk kembali ke sekolah dan mengurangkan peratus kejayaan dalam alam pekerjaan. Oleh itu, kajian ini menganalisis sejarah perkembangan program pemulihan agama di penjara, kurikulum dan pengisian serta peranannya dalam membantu memulihkan tahanan, terutamanya untuk remaja. Hasil kajian mendapati perkembangan program pemulihan agama di penjara amat pesat dan bertambah baik sejak awal penubuhannya sehinggalah sekarang. Program pemulihan agama tidak terhad dengan aktiviti ibadah semata-mata namun telah dibangun dan disusun dengan mempunyai pelbagai bentuk modul dan kemudahan. Perkembangan yang baik ini melambangkan kesungguhan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dalam melaksanakan program pemulihan agama serta kepentingannya dalam membantu menjayakan pemulihan tahanan. Kesimpulannya, program pemulihan agama di penjara telah berada di suatu tahap yang membanggakan namun sentiasa ada penambahbaikan bagi memperkukuhkan pelaksanannya
Elemen motivasi intrinsik dalam model pembangunan diri remaja dari perspektif Islam : kajian terhadap Motivasi Alihan Pelajar (MAP) di Kuala Lumpur
Remaja adalah generasi penting kepada masa depan negara. Oleh itu, negara amat memerlukan remaja yang
membangun secara holistik dari segenap aspek, spiritual, emosi, intelek, sosial dan fizikal. Namun, perubahan zaman
pada era globalisasi kini menjadi cabaran kepada proses pembangunan tersebut. Motivasi adalah elemen yang amat
penting dalam usaha membangunkan diri remaja di samping mengekang masalah sosial. Hakikatnya, motivasi didapati
semakin merosot pada usia remaja. Justeru, suntikan motivasi menerusi program motivasi bermodul adalah amat
penting. Dengan menggunakan metode analisis kandungan secara holistik, kertas ini cuba mengupas elemen motivasi
intrinsik dari perspektif Islam yang digunakan di dalam modul Motivasi Alihan Pelajar (MAP). Berdasarkan analisis,
Modul Motivasi Alihan Pelajar didapati telah menerapkan keempat-empat elemen motivasi pembangunan diri dalam
perspektif Islam seperti yang tersebut. Paradigma yang digunakan di dalam modul ini boleh menjadi rujukan kepada
semua pihak yang bertanggungjawab untuk membentuk pembangunan diri remaja yang lebih sempurna