8 research outputs found

    Kesesuaian Langkah Memperkasakan Domain Bandar Berdaya Huni di Zon Black Spot Jenayah di Sabah

    Get PDF
    Persoalan pangkal terhadap penyelesaian konflik ruangan perlu dilaksanakan segera antaranya untuk mewujudkan sebuah ruangan bandar yang berdaya huni untuk komuniti. Bagi mencapai matlamat keruangan tersebut, penekanan perlu diambil perhatian terhadap aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan ruangan fizikal. Justeru, dalam menyediakan ruangan fizikal seimbang, penelitian pemerkasaan berfokuskan kepada tiga domain bandar berdaya huni perlu dilakukan iaitu domain perumahan, domain ruang awam dan bangunan dan domain pengangkutan dan jalan raya. Makalah ini menjelaskan kesesuaian langkah memperkasakan domain bandar berdaya huni di zon black spot jenayah di Sabah merangkumi lima belas (15) zon black spot jenayah di sekitar Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Soal selidik diedarkan kepada 1,152 responden dan data dianalisis melalui SPSS menggunakan kaedah skor min. Penemuan mendapati langkah sesuai yang menjadi pilihan dominan responden bagi domain perumahan adalah melaksanakan aktiviti rondaan dan kawalan keselamatan tidak kira siang atau malam di kawasan perumahan (4.59). Manakala, domain ruang awam dan bangunan pula dengan memastikan pengurusan sisa pepejal adalah sistematik dengan nilai skor min (4.57). Sementara itu, domain pengangkutan dan jalan raya menekankan kekerapan menyelenggarakan jalan raya untuk kegunaan komuniti (4.62). Walau bagaimanapun, hasil analisis mengikut zon adalah berbeza mengikut ruangan dan lokasi. Oleh itu, adalah perlu pihak berwajib mengambil kira dan meneliti maklum balas komuniti dalam ruangan dalam memastikan usaha memperkasakan ruangan bandar berjalan baik

    Penilaian Terhadap Kualiti Air Tuaian Hujan di Cameron Highlands, Malaysia

    Get PDF
    Pembukaan Cameron Highlands sebagai kawasan pelancongan sejak tahun 1888 telah menyebabkan kawasan ini terus menjadi tumpuan pelancong. Pembukaan kawasan industri, pelancongan, penempatan, pembandaran serta kawasan pertanian yang meningkat dengan mendadak jelas memberikan tekanan terhadap landskap fizikal dan mendatangkan pelbagai impak khususnya kepada alam sekitar, tidak terkecuali di kawasan seperti Cameron Highlands ysng merupakan kawasan pertanian. Pelbagai perubahan telah berlaku yang memberikan kesan negatif terhadap kandungan air hujan yang turun sehingga boleh mendatangkan impak yang buruk terhadap kesihatan penduduk yang masih menggunakan air hujan ini dalam kehidupan seharian. Air tuaian hujan dapat ditafsirkan sebagai air hujan yang dikumpul dan ditadah dalam sesuatu bekas untuk kegunaan luaran seperti membasuh dan penyiraman tanaman malah untuk kegunaan dalaman seperti air minuman. Justeru itu, kajian ini akan meneliti dan menilai tahap kualiti air tuaian hujan berdasarkan kepada Indeks Kualiti Air (IKA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Penilaian parameter kualiti air iaitu pH dan Pepejal Terampai (SS) turut dijalankan terhadap sampel air tuaian yang diambil di sekitar kawasan kajian. Pengambilan sampel dibahagikan kepada tiga kawasan utama iaitu kawasan bandar, penempatan, dan pertanian. Hasil kajian menunjukkan, kandungan SS yang diperolehi adalah lebih tinggi di kawasan penempatan iaitu sebanyak 16mg/L dengan nilai pH 6. Tambahan lagi, sampel air juga diambil mengikut sela masa 3 minit. Hasilnya, kandungan SS adalah lebih tinggi pada minit ke-9 iaitu sebanyak 21mg/L dengan nilai pH 5. Manakala, sebanyak 70 set borang kaji selidik telah digunakan bagi mendapatkan persepsi dan pandangan penduduk terhadap kualiti air tuaian hujan di kawasan kajian. Hasil kajian mendapati bahawa sebahagian penduduk turut berpendapat bahawa peningkatan pembangunan yang dijalankan nyata memberikan kesan yang tidak baik terhadap kualiti air tuaian. Secara keseluruhannya, dapatan kajian mendapati kandungan SS dan pH bagi sampel air hujan kawasan kajian adalah berada dalam lingkungan yang sesuai dan berdasarkan standart yang disyorkan. Justeru itu, PBT perlulah menjalankan pemantauan secara kerap terhadap tahap kualiti sumber air di kawasan kajian supaya tahap kesihatan masyarakat tidak terjelas berikutan masih terdapat segelintir masyarakat yang masih menggunakan air hujan. Tambahan lagi, aspek perancangan pembangunan di Cameron Highlands juga harus dipantau supaya alam sekitar juga dapat dipelihara

    Penerapan etika islam dan pematuhan konsep ‘summum bonum’ oleh pelanggan dalam perniagaan homestay patuh syariah di Sabah

    Get PDF
    Islam adalah cara hidup dan di dalamnya terdapat langkah-langkah ber-muamalah (usaha dan perniagaan) agar tujuannya memenuhi (syariah) seterusnya memperolehi pendapatan (rezeki) yang berkat. Salah satu perniagaan yang boleh dilaksanakan dengan menerapkan etika islam adalah dalam bidang pelancongan iaitu perkhidmatan penginapan Homestay Patuh Syariah. Pelancongan di dalam Islam merupakan satu ibadah di mana ianya perlu dilaksanakan dengan niat dan tujuan yang baik untuk mengelakkan perkara yang dilarang oleh syarak. Pencegahan terhadap perkara-perkara yang dilarang oleh Islam (mafsada) terkait dengan etika seseorang individu yang membawa kepada ‘Summum Bonum’ iaitu prinsip kebaikan tertinggi. Hal ini selaras dengan usaha memperkasakan Model Homestay Patuh syariah di Sabah yang mana setiap pengusaha penginapan perlu menekankan kepentingan pematuhan ciri-ciri etika dalam kalangan pelanggan. Terdapat empat (4) ciri-ciri dalam aspek etika pelanggan yang diketengahkan dalam kajian ini iaitu penginap berpakaian yang menutup aurat, menjaga adab dan akhlak, penginapan dalam kalangan mahram, dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan ruang penginapan. Fokus dalam kertas kerja berkonsepkan inovasi idea ini adalah untuk menjelaskan asas etika islam dalam menjalankan perniagaan, meneliti pematuhan ciri-ciri etika pelanggan di homestay yang terpilih dan mencadangkan inovasi idea dalam pendefinisian konsep ciri-ciri etika pelanggan dan penginap dalam konteks patuh syariah. Kajian ini dilaksanakan di tiga puluh (30) buah homestay sekitar Kota Kinabalu, Kundasang dan Semporna, Sabah. Kaedah utama yang digunakan bagi mendapatkan data kajian adalah menggunakan teknik temubual dan juga penggunaan soal selidik (senarai semak) ketika lawatan di lapangan. Hasil kajian mendapati bahawa keempat- empat ciri yang diketengahkan tidak mencapai pengaplikasian secara total. Justeru, penekanan terhadap prinsip ‘Summum Bonum’ dalam usaha pemerkasaan homestay patuh syariah perlu diusahakan secara optimum oleh pihak pengusaha homestay dan juga para penginap agar matlamat mencapai keredhaan Allah SWT dapat dimanifestasikan secara sempurna

    Tinjauan isu ruangan dan cadangan langkah memperkasakan perkhidmatan penginapan dalam kalangan pengusaha homestay patuh syariah di Sabah

    Get PDF
    Program homestay patuh syariah adalah salah satu strategi untuk mempromosikan pelancongan islamik di Malaysia. kemudahan penginapan homestay tidak hanya tertumpu di kawasan luar bandar, tetapi perkhidmatannya telah diperluas hingga ke kawasan bandar. Pada asalnya, program homestay melibatkan pelancong menginap, menjamu selera dan dihiburkan dengan acara tradisional dan aktiviti bersama penduduk kampung yang terlibat. Walaubagaimanapun, perkhidmatan homestay masa kini adalah lebih bersifat fleksibel iaitu penginap hanya menyewa homestay untuk tujuan berehat (tidur) dan melakukan aktiviti bebas bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Terdapat beberapa isu berkaitan ruangan yang mempengaruhi pemilihan penginapan homestay oleh para pelancong seperti keluasan homestay, penyediaan fasiliti seperti tempat meletakkan kenderaan, jarak antara pusat bandar dan destinasi utama pelancongan serta ancaman risiko keselamatan akibat tindakan manusia mahupun alam semulajadi perlu diteliti untuk tujuan penambahbaikan kualiti perkhidmatan penginapan homestay sedia ada. Selain itu, cadangan langkah dalam memperkasakan perkhidmatan homestay untuk mencapai tahap patuh syariah melalui sudut pandang para pengusaha homestay terlibat perlu diketengahkan untuk diperhalusi di peringkat formal seperti Islamic Tourism Centre (ITC) untuk tujuan bimbingan dan bantuan. Kajian ini dilaksanakan di tiga lokasi tumpuan pelancong di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Kundasang dan Semporna dan melibatkan tiga puluh (30) orang pengusaha homestay. Kaedah pemerhatian secara langsung ke lokasi homestay juga digunapakai dalam kajian ini untuk mengenalpasti dan meneliti suasana perkhidmatan homestay tersebut dilaksanakan secara lebih mendalam. Hasil analisis mendapati bahawa terdapat beberapa pengusaha homestay menjelaskan isu ruangan yang berlaku berdasarkan kepada lokasi homestay seperti limitasi tempat meletakkan kenderaan, ketiadaan CCTV untuk memantau aktiviti penginap, masalah tekanan air rendah, tanah runtuh dan lain-lain. Selain itu, beberapa cadangan langkah yang relevan turut diterima seperti pengusaha homestay mengharapkan ITC dapat membantu menjadi pemantau dan perujuk nasihat khususnya dalam aktiviti melibatkan penyediaan perkhidmatan homestay patuh syariah serta memberikan bantuan pengurusan, latihan dan program-program berstruktur berkaitan proses penyediaan patuh syariah khusus yang dilaksanakan oleh agensi berwajib

    Konsep Bandar Selamat: Kronologi dan Pelaksanaan di Sabah

    Get PDF
    Pelakuan jenayah berlaku di kebanyakan bandar di dunia. Masalah ini semakin kompleks dan sukar dibendung. Konsep Bandar Selamat (KBS) atau (Safe City) diperkenalkan bagi menbendung permasalahan jenayah sekaligus meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan penduduk bandar. Di Malaysia, pelaksanaan KBS pada tahun 2004 di bawah tanggungjawab Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dengan menggariskan sebanyak 23 langkah pencegahan jenayah di peringkat awal pelaksanaannya melalui 3 strategi utama iaitu melalui (i) rekabentuk persekitaran fizikal, (ii) memperkasakan kawasan sasaran dan kegiatan sosial, kemasyarakatan, pendidikan (iii) kempen kesedaran. Namun begitu, KBS telah ditakrifkan dan distrukturkan semula pada tahun 2010. Di Sabah, KBS telah dilancarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kemudiannya diperluaskan ke daerah lain di Sabah seperti daerah Tawau dan Sandakan. Kertas kerja ini cuba mengetengahkan Bandar selamat dari aspek pentakrifan Bandar Selamat, latar belakang pengenalan dan kronologi pelaksanaanya di Malaysia juga di Sabah dengan lebih terperinci

    Kesesuaian pelaksanaan langkah-langkah dalam program bandar selamat mengikut perspektif keruangan di Sabah : tinjauan lokal

    Get PDF
    Masalah pelakuan jenayah banyak melanda di kebanyakan bandar utama seluruh dunia kerana dipengaruhi oleh faktor perbandaran. Usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan bandar telah membawa kepada pelaksanaan program bandar selamat di Malaysia. Dalam konteks Sabah, pelaksanaan program bandar selamat telah dilaksanakan pada tahun 2010 dengan melibatkan tiga buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT). Densiti penduduk yang tinggi dan kepelbagaian prasarana dibangunkan dari aspek ekonomi dan sosial berbanding daerah-daerah lain menjadikan ketiga-tiga daerah ini menjadi tumpuan pelakuan jenayah bandar yang melibatkan etnik lokal mahupun warga asing. Makalah ini membincangkan aspek kesesuaian pelaksanaan langkah-langkah bandar selamat dengan merujuk kepada aspek keruangan bandar yang melibatkan tiga strategi utama. Pendekatan yang digunakan adalah secara kutipan data lapangan melalui edaran borang soal selidik yang melibatkan 1500 orang responden, temubual mendalam bersama responden dan pegawai yang bertanggungjawab serta pemerhatian secara langsung. Hasil kajian menunjukkan kesesuaian langkah bagi strategi mereka bentuk persekitaran fizikal adalah pada langkah pengasingan laluan pejalan kaki dari jalan bermotor dan kawalan tanaman landskap di laluan pejalan kaki, strategi memperkasakan kawasan sasaran adalah melalui penggunaan cermin keselamatan dan pencahayaan serta strategi melalui kegiatan sosial, kemasyarakatan, pendidikan dan kesedaran awal pula adalah dengan kaedah meningkatkan rondaan kawasan perumahan dengan nilai min masing-masing (4.39), (4.55) dan (4.50). Secara keseluruhannya, ketiga-tiga strategi pelaksanaan konsep bandar selamat yang diketengahkan dalam kertas kerja ini mendapat maklum balas yang positif di ketiga-tiga kawasan kajian

    Keterlibatan Komuniti Dalam Memperkasakan Bandar Berdaya Huni Di Zon Black Spot Jenayah Di Kota Kinabalu, Sabah

    Get PDF
    Dalam mencapai usaha mewujudkan sebuah bandar selamat dan berdaya huni, terdapat beberapa elemen penting yang perlu ditekankan dalam merealisasikannya. Salah satunya ialah elemen keterlibatan komuniti bandar yang merupakan agen pembangunan dan perubahan kepada sesuatu dimensi ruang. Kota Kinabalu adalah sebuah bandar yang pesat membangun dari pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan fizikal dan ia mendorong kepada keinginan masyarakat untuk berhijrah ke kawasan bandar, sama ada secara kekal atau sementara bagi memenuhi keperluan dan kelangsungan hidup. Justeru, penghijrahan masyarakat ke bandar Kota Kinabalu telah menyumbang kepada tuntutan sosial dan fizikal yang membawa kepada isu keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan masyarakat. Maka, dalam mewujudkan sebuah bandar berdaya huni (BDH) untuk komuniti, bagaimana pula dengan tahap kesediaan dan keterlibatan komuniti untuk memperkasakan usaha ini di peringkat lokal. Kajian ini dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dengan memfokuskan kepada lima buah zon black spot jenayah iaitu sekitar Sadong Jaya, Segama, Sinsuran, Sembulan dan Tanjung Aru. Justifikasi pemilihan lokasi ini adalah disebabkan indeks jenayah di kawasan tersebut tinggi, menjadi zon pelaksanaan program bandar selamat di bawah pihak berkuasa tempatan, populasinya yang ramai dan pusat tumpuan segala aktiviti masyarakat. Zon yang terlibat terletak berhampiran pusat bandar raya. Seramai 384 orang responden terlibat dalam penyelidikan ini. Penggunaan soal selidik digunakan bagi menjawab objektif kajian dan data dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) melalui analisis frekuensi, crosstabs dan skor min. Dapatan kajian menjelaskan bahawa keterlibatan komuniti dalam memperkasakan BDH di zon black spot jenayah di Kota Kinabalu masih rendah. Oleh itu, pelbagai usaha dan mekanisme perlu dilaksanakan khususnya dalam agenda pemerkasaan komuniti secara komited dan konsisten

    Kesesuaian Langkah Memperkasakan Domain Bandar Berdaya Huni di Zon Black Spot Jenayah di Sabah

    Full text link
    Persoalan pangkal terhadap penyelesaian konflik ruangan perlu dilaksanakan segera antaranya untuk mewujudkan sebuah ruangan bandar yang berdaya huni untuk komuniti. Bagi mencapai matlamat keruangan tersebut, penekanan perlu diambil perhatian terhadap aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan ruangan fizikal. Justeru, dalam menyediakan ruangan fizikal seimbang, penelitian pemerkasaan berfokuskan kepada tiga domain bandar berdaya huni perlu dilakukan iaitu domain Perumahan, domain ruang awam dan bangunan dan domain pengangkutan dan jalan raya. Makalah ini menjelaskan kesesuaian langkah memperkasakan domain bandar berdaya huni di zon black spot jenayah di Sabah merangkumi lima belas (15) zon black spot jenayah di sekitar Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Soal selidik diedarkan kepada 1,152 responden dan data dianalisis melalui SPSS menggunakan kaedah skor min. Penemuan mendapati langkah sesuai yang menjadi pilihan dominan responden bagi domain Perumahan adalah melaksanakan aktiviti rondaan dan kawalan keselamatan tidak kira siang atau malam di kawasan Perumahan (4.59). Manakala, domain ruang awam dan bangunan pula dengan memastikan pengurusan sisa pepejal adalah sistematik dengan nilai skor min (4.57). Sementara itu, domain pengangkutan dan jalan raya menekankan kekerapan menyelenggarakan jalan raya untuk kegunaan komuniti (4.62). Walau bagaimanapun, hasil analisis mengikut zon adalah berbeza mengikut ruangan dan lokasi. Oleh itu, adalah perlu pihak berwajib mengambil kira dan meneliti maklum balas komuniti dalam ruangan dalam memastikan usaha memperkasakan ruangan bandar berjalan baik
    corecore