1 research outputs found

    Kesan kaedah pengeringan dan pelarut yang berbeza terhadap kandungan fenol, aktiviti antioksidan dan antihiperglisemik ekstrak rizom halia hutan (Alpinia mutica Roxb.)

    Get PDF
    Alpinia mutica Roxb. (Zingiberaceae), juga dikenali sebagai halia hutan ialah sejenis tumbuhan yang kaya dengan sumber bahan bioaktif, berupaya menentang sel kanser dan berpotensi untuk bertindak sebagai agen antioksidan. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji kesan kaedah pengeringan (pengeringan ketuhar (PK) dan sejuk beku (PB)) serta penggunaan campuran pelarut etanol dan air pada nisbah yang berbeza (100:0, 50:50 dan 0:100) terhadap kandungan fenol, aktiviti antioksidan dan antihiperglisemik ekstrak rizom A. mutica (ERA). Kandungan fenol ERA dikaji dengan ujian penentuan Jumlah Kandungan Fenol (TPC) manakala aktiviti antioksidan ditentukan dengan Ujian Aktiviti Penyingkiran Radikal Bebas (DPPH) dan Ujian Kuasa Penurunan Ferik (FRAP). Aktiviti antihiperglisemik dikaji melalui perencatan enzim α-glukosidase. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan kaedah pengeringan dan pelarut yang berbeza mempengaruhi kandungan fenol, aktiviti antioksidan dan kesan antihiperglisemik ERA. Sampel PK yang diekstrak dengan nisbah pelarut 100:0 menunjukkan aktiviti antioksidan (DPPH) dan kesan antihiperglisemik yang terbaik dengan nilai kepekatan perencatan separuh maksimum (IC50) yang paling rendah, 550.94 ± 50.02 dan 84.97 ± 11.69 μg/mL. Sampel PK (100:0) juga mencatatkan kandungan fenol (155.55 ± 9.36 mg GAE/g ekstrak) dan nilai FRAP (108.98 ± 10.08 mg TEAC/g ekstrak) yang tertinggi dengan perbezaan yang ketara berbanding dengan sampel lain (p < 0.05). Korelasi positif antara TPC dengan aktiviti antioksidan dan antihiperglisemik menunjukkan kebarangkalian bahawa sebatian fenol ialah komponen yang bertanggungjawab terhadap aktiviti biologi yang diperoleh. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa teknik pengeringan dan nisbah pelarut ekstrak yang digunakan jelas mempengaruhi kandungan fenol, aktiviti antioksidan dan kesan antihiperglisemik (ERA)
    corecore