13 research outputs found

    Eksplorasi budaya di Malaysia

    Get PDF

    Kesusasteraan Melayu tradisional sebagai wadah komunikasi massa: suatu analisis

    Get PDF
    Makalah ini membincangkan kedudukan dan peranan kesusasteraan Melayu tradisional dalam konteks komunikasi massa. Selain itu, makalah ini juga bertujuan melihat bagaimana karya kesusasteraan Melayu tradisional menjadi medium penyampaian ilmu, pengajaran dan hiburan yang efektif kepada khalayaknya. Kajian ini menggunakan pendekatan konseptual iaitu cuba menganalisis bagaimana karya-karya kesusasteraan Melayu tradisional berperanan sebagai alat komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu maklumat atau mesej kepada khalayaknya. Model Source-Message-Channel-Receiver (SMCR) yang diperkenalkan oleh Wilbur Schramm (1982) dijadikan sandaran untuk melihat fungsi kesusasteraan Melayu tradisional sebagai wahana komunikasi massa

    Kebijaksanaan adab dalam hikayat Melayu tradisional

    Get PDF
    Makalah ini membincangkan konsep kebijaksanaan adab dalam dunia Melayu yang dipaparkan melalui karyakarya hikayat Melayu tradisional dari perspektif adab. Hikayat Melayu tradisional memainkan peranan penting sebagai wadah pembentukan peradaban manusia bagi melahirkan insan yang bijaksana dalam memenuhi tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Data kajian melibatkan teks Hikayat Isma Yatim dan Hikayat Hang Tuah – antara khazanah hikayat Melayu tradisional yang dihasilkan atau disalin dari abad ke-15 hingga abad ke-19. Dalam membuktikan fungsi hikayat Melayu tradisional sebagai wadah pembentukan insan yang bijaksana, kajian ini mengaplikasikan pendekatan adab berasaskan model kerangka pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2001). Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah analisis kandungan terhadap teks Hikayat Isma Yatim dan Hikayat Hang Tuah. Hasil kajian menunjukkan bahawa teks-teks hikayat Melayu tradisional telah memainkan peranan penting dalam menerapkan unsur kebijaksanaan ke arah menghasilkan insan terpuji yang seimbang dari segi rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi. Unsur kebijaksanaan yang diserapkan menerusi teks-teks hikayat Melayu tradisional menjadi panduan kepada khalayak menjalin hubungan dengan Tuhan selaku Pencipta (hablumminaLLah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas) di samping menjelaskan peranan setiap manusia di dunia – sebagai khalifah Allah SWT dan pada masa yang sama selaku hamba-Nya

    Struktur naratologi dan citra ibu dalam cerita legenda Si Tenggang, Si Malin Kundang, dan Nakhoda Manis

    Get PDF
    Makalah ini membincangkan struktur naratologi dan citra ibu dalam cerita legenda Si Tenggang, Si Malin Kundang, dan Nakhoda Manis. Analisis struktur naratologi bagi ketiga-tiga legenda anak derhaka dilakukan bersandarkan skema aktansial utama yang diperkenalkan oleh A. J. Greimas. Dua objektif makalah ini adalah untuk menganalisis struktur cerita dan untuk menghuraikan citra ibu menerusi tiga buah cerita legenda yang masing-masing dari Malaysia, Indonesia dan Brunei iaitu legenda Si Tenggang, Si Malin Kundang, dan Nakhoda Manis. Dari segi metodologi, kajian ini berorientasikan kajian kepustakaan yang berteraskan kaedah kualitatif. Data kajian dibataskan kepada legenda Si Tenggang oleh Muhibah Ayob (1984), Si Malin Kundang oleh Dahsinar (1971), dan Nakhoda Manis oleh Haji Leman Ahmad (1990). Selain itu, kaedah analisis kandungan dan teknik bacaan rapi diguna pakai untuk menganalisis data. Hasil kajian mendapati bahawa legenda anak derhaka dalam cerita Si Tenggang, Si Malin Kundang, dan Nakhoda Manis mempunyai struktur cerita yang berbeza. Meskipun ketiga-tiga legenda menunjukkan banyak ciri persamaan, namun terdapat beberapa perbezaan yang mengangkat identiti karya setiap negara. Hasil kajian juga menunjukkan citra ibu dalam legenda anak derhaka adalah seperti pasrah dengan ketentuan Tuhan dan imej wanita paling setia. Hakikatnya, setiap daripada kisah legenda ini mempunyai lambang kedudukan seorang ibu dalam institusi kekeluargaan bukan sahaja dalam budaya Melayu Nusantara bahkan juga dalam agama

    Akhlak pemimpin dalam Hikayat Isma Yatim: satu analisis pendekatan adab

    Get PDF
    Makalah ini menganalisis akhlak pemimpin, berasaskan gambaran keperibadian akhlak menerusi watak Isma Yatim berdasarkan Hikayat Isma Yatim. Pendekatan adab berasaskan model kerangka pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah diaplikasikan untuk mencapai tujuan penulisan makalah ini. Perbincangan ini akan melihat keperibadian akhlak yang dimiliki oleh Isma Yatim bagi melahirkan insan yang dikenali sebagai insan adabi. Data kajian ini diperoleh melalui analisis kandungan teks Hikayat Isma Yatim yang telah ditransliterasikan oleh Ayu Nor Azilah (2003). Kajian kepustakaan turut dilakukan bagi memperoleh maklumat awal kajian ini. Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah menggariskan bahawa antara prinsip adab yang harus ada dalam diri seseorang bagi melahirkan seorang insan adabi ialah amal ihsan selain daripada ilmu, kebijaksanaan dan keadilan. Dapatan penulisan ini menunjukkan watak Isma Yatim memiliki akhlak mulia serta budi pekerti yang baik apabila prinsip tersebut diamalkan. Penulisan ini juga mendapati Hikayat Isma Yatim memberi panduan kepada khalayak dalam menjalin hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas) yang menjelaskan status peranan bagi setiap manusia di dunia sebagai khalifah Allah serta sebagai hamba-Nya. Berdasarkan kepada pendekatan adab, Isma Yatim memenuhi kriteria seorang pemimpin yang berakhlak tinggi seperti tawaduk, berilmu, iklhas, pemurah, amanah, hormat-menghormati, berbakti kepada raja dan adil. Akhlak yang dimiliki oleh Isma Yatim melayakkan beliau digelar sebagai insan adabi kerana menepati prinsip-prinsip pendekatan adab yang telah digariskan

    Komunikasi bukan lisan: alamat kedutan (denyutan) berdasarkan Mujarrobat

    Get PDF
    Kedutan (denyutan) adalah fenomena tubuh yang cukup unik, iaitu berlaku pergerakan tubuh atau tubuh bergerak-gerak sendiri tanpa ada sebab yang jelas. Kedutan (denyutan) dialami di bahagian tubuh manusia, misalnya kedutan (denyutan) di mata kiri, kedutan (denyutan) mata kanan atau kedutan (denyutan) kelopak mata atas. Masyarakat Jawa mempercayai kedutan (denyutan) memberi petanda dan alamat kepada sesuatu peristiwa yang bakal berlaku. Peristiwa itu boleh jadi peristiwa baik atau peristiwa kurang baik. Biasanya alamat (ngalamat) sedemikian dibincangkan dalam Primbon Jawa. Kedutan (denyutan) dapat memberi tanda atau petunjuk dari aspek komunikasi bukan lisan. Maknanya tanpa diberitahu secara lisan sesuatu perkara yang akan terjadi boleh diketahui hanya melalui isyarat denyutan yang berlaku pada anggota tubuh badan. Penulisan ini bertujuan menjelaskan alamat kedutan (denyutan) di bahagian tubuh badan manusia berdasarkan Mujarrobat. Kaedah analisis tekstual digunakan dalam penulisan ini. Seterusnya temu bual terarah dilakukan bersama responden berketurunan Jawa yang masih mempercayai amalan ini. Pendekatan Firasat dalam Teori Perkaedahan Melayu digunakan bagi melihat amalan berkaitan alamat sesuatu kejadian atau peristiwa dijelaskan. Dapatan kajian menunjukkan kedutan (denyutan) di badan boleh dikategorikan kepada empat bahagian iaitu di bahagian kepala, muka dan leher, badan, tangan dan kaki. Kedutan (denyutan) tersebut dapat menggambarkan peristiwa berkenaan kehidupan, rezeki, harta, pekerjaan dan kesihatan seseorang. Kepercayaan sedemikian masih dipercayai oleh masyarakat Jawa dan terdapat dalam kalangan masyarakat Jawa yang menjadikan amalan ini sebagai satu cara mereka berhati-hati dalam menghadapi sebarang kemungkinan baik dan kurang baik. Suatu hal yang istimewa menunjukkan makna kedutan (denyutan) ini diadaptasi sesuai dengan nilai dan norma masyarakat setempat

    Imej isteri misali dalam hikayat Melayu-Islam: penerapan metode dakwah melalui teori pengkaedahan Melayu

    Get PDF
    Teks-teks hikayat Melayu-Islam menjadi antara medium penting dalam menyampaikan ajaran Islam di alam Melayu terutama pada abad ke-15. Karya-karya bercorak naratif ini menjadi saluran dakwah ajaran Islam termasuklah dalam aspek akhlak dan kekeluargaan. Turut menjadi fokus hikayat Melayu Islam ialah pembentukan citra isteri misali, sesuai dengan kedudukan isteri sebagai komponen penting untuk melahirkan rumah tangga dan keluarga bahagia. Makalah ini membincangkan imej isteri misali yang dipancarkan dalam dua buah karya hikayat Melayu-Islam iaitu Hikayat Darmata’siah dan Hikayat Perempuan Bernama Latifah. Analisis imej isteri misali dalam penulisan ini ditinjau dari sudut metode dakwah yang terkandung dalam Teori Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang. Sehubungan dengan itu, perbincangan makalah ini akan menganalisis imej isteri misali sebagai sebuah metode dakwah menerusi teks-teks hikayat Melayu-Islam. Daripada aspek metodologi, kajian ini berorientasikan pendekatan kualitatif yang terbahagi kepada kaedah kepustakaan dan analisis kandungan. Data kajian melibatkan dua teks hikayat berunsurIslam iaitu Hikayat Darmata’siah yang terkandung dalam Antologi Enam Hikayat selenggaraan Mohd. Yusof Md. Nor (1989) dan Hikayat Perempuan Bernama Latifah selenggaraan Nik Afifah Nik Abdul Aziz (2017). Hasil kajian mendapati kedua-dua teks menampilkan nilai isteri misali yang digariskan dalam Islam. Antara ciri isteri misali yang signifikan ialah pegangan agama yang mantap, senantiasa mentaati suami, melayani suami seperti raja, dan setia. Tegasnya dari sudut dakwah, inti pati kedua-dua teks hikayat ini dalam menonjolkan imej isteri misali masih relevan dan boleh dijadikan panduan kepada golongan wanita moden hari ini

    Cerita rakyat Bawang Putih Bawang Merah versi Malaysia & Indonesia : perbandingan latar budaya

    Get PDF
    Cerita rakyat seperti Bawang Putih Bawang Merah turut menggambarkan latar budaya masyarakat yang menuturkannya. Kertas kerja ini mengupas latar budaya dalam cerita rakyat Bawang Putih Bawang Merah versi Malaysia dan Indonesia. Analisis mengenai latar budaya masyarakat Melayu ini dilakukan berdasarkan konsep kebudayaan oleh Koentjaraningrat (2000). Dua objektif kajian telah ditetapkan iaitu menganalisis latar budaya dalam cerita rakyat Bawang Putih Bawang Merah di Malaysia dan Indonesia; dan membuat perbandingan latar budaya yang terkandung dalam kedua-dua versi cerita rakyat tersebut. Dari segi metodologi, kajian ini berorientasikan kajian kepustakaan yang berteraskan kaedah kualitatif. Data kajian melibatkan kisah Bawang Putih Bawang Merah, versi Malaysia hasil selenggaraan Rubaidin Siwar (2002) dan Bawang Merah dan Bawang Putih versi Indonesia hasil selenggaraan Faza (2016). Selain itu, kaedah analisis kandungan dan teknik bacaan rapi diguna pakai untuk menganalisis data. Analisis dilakukan dengan memfokuskan tiga unsur kebudayaan iaitu bahasa, agama dan kepercayaan, dan ekonomi. Hasil kajian membuktikan bahawa cerita rakyat turut mencerminkan latar budaya sesebuah masyarakat. Cerita rakyat Bawang Putih Bawang Merah memperlihatkan bahawa masyarakat Melayu di Malaysia dan Indonesia memiliki unsur kebudayaan yang tersendiri dan istimewa. Sebagai bangsa serumpun yang berkongsi cerita rakyat yang serupa, masyarakat Melayu di kedua-dua negara saling memiliki persamaan budaya yang boleh dikongsi bersama dan perbezaan yang mengangkat keunikan jati diri masing-masing

    Akhlak pemimpin dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain: satu analisis pendekatan adab

    Get PDF
    Kajian ini membincangkan mengenai akhlak pemimpin dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain. Pemimpin yang difokuskan dalam kajian ini adalah Iskandar Zulkarnain yang merupakan seorang penakluk yang hebat. Nama Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam al-Quran dan sejarah Islam adalah sama dengan Alexander the Great di Barat. Perbezaan nama itu timbul kerana Raja Iskandar Zulkarnain menguasai empayar yang luas melangkaui dari benua Eropah sampai ke Timur Jauh. Beliau memerintah dua kerajaan dunia iaitu Timur dan Barat. Perbincangan ini melihat keperibadian akhlak yang dimiliki oleh Raja Iskandar Zulkarnain bagi melahirkan insan yang dikenali sebagai insan adabi. Data kajian ini adalah teks Hikayat Iskandar Zulkarnain yang diselenggarakan Khalid M. Hussain (2013). Kajian ini mengaplikasikan pendekatan adab berasaskan model kerangka pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2001). Syed Muhammad Naquib Al-Attas menggariskan bahawa antara prinsip adab yang harus ada dalam diri seseorang bagi melahirkan seorang insan adabi ialah amal ihsan. Amal ihsan ialah perbuatan yang saling berhubung dengan prinsip ilmu, kebijaksanaan dan keadilan yang berlaku dalam kehidupan manusia. Apabila prinsip tersebut diamalkan, akan terlahirlah insan yang memiliki akhlak yang mulia serta budi pekerti yang baik seperti yang digambarkan melalui watak Raja Iskandar Zulkarnain. Hal ini menunjukkan bahawa adab, akhlak dan budi saling berkaitan dalam membentuk insan adabi. Selain itu, Hikayat Iskandar Zulkarnain turut menjadi panduan kepada khalayak dalam menjalin hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas) yang menjelaskan status peranan bagi setiap manusia di dunia sebagai khalifah Allah serta sebagai hamba-Nya. Berdasarkan kepada pendekatan adab, Raja Iskandar Zulkarnain memenuhi kriteria seorang pemimpin yang berakhlak tinggi. Akhlak yang dimiliki Raja Iskandar Zulkarnain melayakkan beliau digelar sebagai insan adabi kerana menepati prinsip-prinsip pendekatan adab yang digariskan

    Kepimpinan wanita dalam novel Matriark karya Samsiah Mohd. Nor

    Get PDF
    Wanita memainkan peranan yang semakin luas dalam kehidupan moden termasuklah sebagai pemimpin. Sebagaimana lelaki, wanita turut mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tersendiri. Kepimpinan wanita turut diangkat dalam karya kesusasteraan seperti novel Matriark oleh Samsiah Mohd. Nor (2018). Namun kajian berhubung ciri-ciri yang membentuk citra kepimpinan wanita dalam novel masih belum menjadi fokus peneliti sastera Melayu. Sehubungan itu, makalah ini menganalisis kepimpinan wanita dalam novel Matriark menggunakan landasan teori kepimpinan transformasi yang dipelopori oleh Burns (1978) dan Bass (1990). Objektif makalah ini ialah menganalisis ciri-ciri kepimpinan yang membentuk citra wanita sebagai pemimpin dalam novel Matriark. Metodologi kajian melibatkan pendekatan kualitatif yang merangkumi dua kaedah iaitu kajian kepustakaan dan analisis kandungan. Kajian kepustakaan dilakukan untuk mendapatkan maklumat berkaitan kepimpinan daripada pelbagai sumber rujukan seperti makalah jurnal, tesis dan buku ilmiah. Analisis kandungan pula dilakukan terhadap novel Matriark melalui teknik bacaan rapi, pentafsiran dan penganalisisan bersandarkan teori kepimpinan transformasi. Hasil penelitian mendapati bahawa ciri-ciri yang membina citra kepimpinan wanita dalam novel Matriark boleh dikupas berdasarkan empat dimensi, iaitu karisma, rangsangan intelek, motivasi berinspirasi dan pertimbangan individual. Natijahnya, novel Matriark mengangkat keunggulan citra wanita Melayu sebagai pemimpin organisasi berkualiti yang bukan sahaja komited untuk merubah organisasinya tetapi pada masa yang sama, komited untuk mengubah dan membangunkan pengikutnya
    corecore