5 research outputs found

    Propaganda British di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Pertama

    Get PDF
    Perang Dunia Pertama memperlihatkan pentadbiran British di Tanah Melayu menghadapi ancaman propaganda Turki dan Jerman. Ini berikutan penglibatan British dalam Perang Dunia Pertama telah mengheret negara-negara dan negeri-negeri jajahan dan naungannya untuk menyokong British dan sekutunya. Kesannya, Negeri-Negeri Melayu yang merupakan negeri jajahan dan naungan British telah menerima ancaman propaganda daripada musuh-musuh British. Bagi menangani ancaman propaganda musuh, pihak British telah menyebarkan propagandanya kepada masyarakat awam di Tanah Melayu. Sehubungan dengan itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti usaha British dalam menyebarkan propaganda sebagai medium komunikasi utama untuk mendapatkan sokongan masyarakat awam di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Pertama. Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan penelitian terhadap sumber primer iaitu fail Colonial Office seperti C.O. 323/720/40660 pada tahun 1916 dan fail Secretary of State seperti S.S 37/1915 pada tahun 1915. Kajian ini juga merujuk fail Selangor Sekretariat 5414/1914 pada tahun 1914 dan Selangor Sekretariat 3737/1915 pada tahun 1915. Hasil kajian membuktikan bahawa British telah menggunakan propaganda sebagai medium komunikasi yang utama bagi mendapatkan sokongan masyarakat tempatan dan menanam sikap anti Turki dan Jerman di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Pertama. Kesimpulan daripada kajian ini adalah British telah mengambil bentuk propagandanya yang telah dilaksanakan di Eropah untuk mendapatkan sokongan penduduk tempatan di Tanah Melayu

    Pan-Islamisme di negeri-negeri Melayu dan reaksi British (1912-1918)

    Get PDF
    Artikel ini menganalisis perkembangan Pan-Islamisme di Negeri-Negeri Melayu pada zaman Perang Dunia Pertama. Sebelum Perang Dunia Pertama meletus, kerajaan British di Negeri-Negeri Melayu mengamalkan hubungan diplomatik dengan pelbagai negara. Keterbukaan ini memberi ruang kepada negara-negara lain untuk mengadakan hubungan ekonomi dan sosial dengan penduduk Negeri-Negeri Melayu. Turki merupakan antara negara yang mempunyai hubungan baik dengan British telah memberi ruang kepada negara tersebut untuk mempunyai hubungan diplomatik dengan Negeri-Negeri Melayu. Pan-Islamisme mula menjadi isu hangat apabila sekumpulan inteklekual muda di Turki telah mencetus idea dan gerakan kesatuan Islam sejagat. Kesannya, semangat Pan-Islamisme telah mula tersebar ke Negeri-Negeri Melayu. Semangat ini mempengaruhi masyarakat Islam untuk menyokong kerajaan Turki atas prinsip kesatuan umat Islam sejagat. Walaupun British sedar bahawa perkembangan semangat Pan-Islamisme ini mampu mempengaruhi kesetiaan penduduk Negeri-Negeri Melayu terhadap British namun British tidak dapat menyekat kemasukan pendakwah atau pedagang Turki untuk datang ke Negeri-Negeri Melayu. Hal ini disebabkan British masih mempunyai hubungan baik dengan Turki. Maka, semangat Pan-Islamisme terus berkembang di Negeri-Negeri Melayu sehingga Perang Dunia Pertama meletus pada tahun 1914. Justeru itu, artikel ini menilai sejauhmanakah Pan-Islamisme memberi kesan terhadap perkembangan Pan-Islamisme di Negeri-Negeri Melayu pada zaman Perang Dunia Pertama. Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan kualititatif dengan meneliti sumber primer seperti dokumen Laporan Tahunan Negeri-Negeri Selat dan fail-fail Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British. Hasil kajian membuktikan semangat Pan-Islamisme telah diterima oleh penduduk Negeri-Negeri Melayu namun sokongan ini berjaya dikawal oleh British sepanjang zaman Perang Dunia Pertama

    Pertikaian Inggeris-Belanda di Hindia Timur dan usaha penyelesaiannya melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824

    Get PDF
    Artikel ini membincangkan usaha menyelesaikan pertikaian kuasa dan lingkungan pengaruh yang tercetus di antara Belanda dan British di Hindia Timur kesan daripada Perjanjian Inggeris-Belanda 1814. Pertikaian di antara Belanda dengan British pasca Perjanjian Inggeris-Belanda 1814 berlaku apabila pegawai-pegawai British di Hindia Timur berusaha mendapatkan penempatan baru bagi menyaingi monopoli perdagangan Belanda. Kemuncaknya adalah apabila berlaku pertikaian akibat pertapakan British di Singapura pada tahun 1819. Usaha-usaha rundingan untuk menyelesaikan pertikaian di antara Belanda dengan British mula digerakkan namun menemui kegagalan. Pertikaian ini akhirnya berjaya diselesaikan apabila Belanda dan British bersetuju menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Justeru itu, objektif kajian ini adalah untuk menganalisis permasalahan yang timbul dalam menyelesaikan pertikaian di antara Belanda dan British di Hindia Timur dari tahun 1814 sehingga 1824. Permasalahan dari sudut hak penguasaan dan kedaulatan sesebuah kawasan yang dipertikaikan merupakan antara subjek perbincangan kajian ini. Kajian ini mengaplikasikan kaedah kualitatif yang berasaskan metodologi kajian sejarah dengan meneliti dokumen pentadbiran Belanda dan British terutamanya catatan yang dilakukan oleh pegawai kolonial Belanda seperti C.T. Elout dan J.C. Baud. Sumber sekunder yang releven dan berautoriti turut dirujuk khususnya perjanjian-perjanjian dan surat-menyurat peribadi yang dikumpul oleh P.H.V.D. Kemp dan A.R. Falck. Hasil kajian mendapati Perjanjian Inggeris-Belanda 1814 telah mencetuskan permasalahan dan pertikaian di antara Belanda dan British. Namun begitu, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 berjaya menyelesaikan pertikaian kuasa dan lingkungan pengaruh serta memperkukuh hubungan Belanda dan British di Hindia Timur

    Perkembangan sistem perdagangan merkantilisme Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (1909-1913)

    Get PDF
    Artikel ini membincangkan perkembangan sistem perdagangan merkantilisme Negeri-Negeri Melayu Bersekutu semenjak tahun 1909 hingga tahun 1913. Kawalan terhadap pentadbiran kewangan dan ekonomi eksport oleh British sejak penubuhan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1909 sebenarnya bertentangan dengan amalan perdagangan bebas British pada abad ke-19. Sehingga tahun 1913, British berjaya mengumpul lebihan baki kewangan persekutuan menerusi kawalannya terhadap Majlis Mesyuarat Persekutuan. Tempoh masa antara tahun 1909 hingga 1913 membuktikan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mempunyai lebihan baki kewangan yang tinggi. Oleh itu, objektif kajian ini ialah meneliti pembentukan sistem perdagangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu oleh British sejak penubuhan Majlis Mesyuarat Persekutuan sehingga sebelum Perang Dunia Pertama. Hasil kajian mendapati, ciri penting perdagangan merkantilisme yang mempengaruhi sistem perdagangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ialah campur tangan Ketua Setiausaha menerusi peruntukkan undang-undang oleh Majlis Mesyuarat Persekutuan. Ketua Setiausaha mempunyai bidang kuasa untuk mengawal sistem kewangan, sistem cukai dan ekonomi eksport yang merupakan pendapatan utama kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Kajian ini menggunakan kaedah kajian sejarah yang memberi tumpuan terhadap rekod-rekod perdagangan dan pentadbiran kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

    Singapura dan pengaruh luar menjelang Perang Dunia Pertama

    Get PDF
    Menjelang Perang Dunia Pertama, British mengakui bahawa Tanah Melayu khususnya Singapura telah pun terdedah dengan pelbagai hasutan dan propaganda pengaruh luar. Apabila Perang Dunia Pertama meletus pada 28 Julai 1914, pengaruh luar ini mula menyebarkan propaganda dan ideologi penentangan bagi mendapatkan sokongan masyarakat untuk bangkit menentang British. Ancaman utama British pada ketika itu adalah daripada pengaruh gerakan Ghadar, Pan Islamisme dan Jerman. Menyedari hal ini, kerajaan British telah mengambil beberapa langkah bagi menghalang ancaman dan pengaruh luar tersebut. Namun begitu, hasutan dan propaganda pengaruh luar tersebut tidak dapat dibendung dengan mudah apabila akhirnya tercetus peristiwa “Singapore Mutiny 1915”. Artikel ini akan menganalisis keberkesanan usaha-usaha British dalam membendung serta menangani ancaman pengaruh luar yang membawa kepada peristiwa dahagi tentera (Singapore Mutiny 1915). Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan penelitian terhadap sumber-sumber primer daripada rekod-rekod kerajaan British. Dapatan kajian memperlihatkan kelemahan dan kelonggaran pentadbiran British merupakan faktor utama yang telah membawa kepada berlakunya peristiwa “Singapore Mutiny 1915”. Kesimpulannya, pentadbiran British di Singapura gagal menghalang ancaman dan pengaruh luar sehingga membawa kepada pemberontakkan dari kalangan tenteranya sendiri iaitu Indian 5th Light Infantry
    corecore