3 research outputs found

    Pola pemikiran masyarakat kepulauan Malaysia berkaitan kebudayaan kebangsaan

    Get PDF
    Kepulauan adalah wilayah asas ketamadunan budaya tempatan. Pola pemikiran masyarakat kepulauan di Malaysia dalam mendepani dasar negara berkaitan kebudayaan kebangsaan tidak begitu terserlah dalam kajian-kajian lepas. Makalah ini, justeru, cuba menyerlahkan aspek ini dengan meneliti data kuantitatif via kaedah tinjauan lapangan. Borang tinjauan lapangan dimanfaatkan bagi mendapatkan refleksi sebenar orang awam berkaitan kefahaman, persepsi, dan keberkesanan dasar kebudayaan kebangsaan. Seramai 450 orang responden berlainan etnik, agama, umur serta latar sosial telah dipilih bagi mewakili populasi penduduk pulau di seluruh Malaysia. Responden berumur 20 hingga 49 tahun adalah 90% daripada jumlah keseluruhan sampel. Premis pemilihan kumpulan ini tinggi disebabkan mereka adalah kategori peserta aktif dalam pembangunan negara. Kelompok peserta berumur 50 hingga 69 tahun pula merupakan 10% daripada jumlah keseluruhan sampel. Kumpulan ini adalah golongan yang dianggap berpengalaman tinggi dalam kehidupan kerana terlibat dalam pembangunan negara secara langsung dan tidak langsung.Kaedah Strutural Equation Model dan perisian Smart Partial Least Square 3.0 dimanfaatkan sepenuhnya dalam kajian ini. Hasil dapatan kajian inimenyerlahkan hakikat bahawa masyarakat kepulauan memahami dan menerima dengan baik dasar di Malaysia yang berkaitan kebudayaan kebangsaan yang telah diperkenalkan sejak 1971 (Dasar Kebudayaan Kebangsaan). Kajian ini turut menyerlahkan sebuah model pola pemikiran masyarakat kepulauan Malaysia berkaitan kebudayaan kebangsaan. Model Pola Pemikiran Budaya Masyarakat Kepulauan Malaysia memerihalkan impak sosial masyarakat Malaysia berkaitan aspek perpaduandan jati diri. Kajian ini memberi implikasi penting terhadap kerangka teori kebudayaan kebangsaan yang pragmatik di Malaysia, khususnya melalui Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN2021) serta penerapan agenda nasional berkaitan pemodenan, pendidikan, perpaduan dan kebudayaan

    Pemetaan isoglos varian dialek Terengganu berasaskan aplikasi sistem maklumat geografi

    Get PDF
    Makalah ini bertujuan menyerlahkan peta variasi Dialek Terengganu yang wujud di Lembangan Sungai Terengganu dengan mengaplikasikan perisian Sistem Maklumat Geografi (Geographical Information System). Variasi leksikal ‘aku’, ‘kamu’ dan ‘mereka’ yang berfungsi sebagai subjek dalam ujaran yang dituturkan oleh masyarakat kampung yang tinggal di sepanjang Lembangan Sungai Terengganu dimanfaatkan sepenuhnya dalam memenuhi objektif kajian ini. Kajian ini menerapkan kaedah kajian lapangan yang melibatkan teknik temu bual informan dan rakaman. Aspek geolinguistik dan bukan linguistik telah dikemukakan dalam makalah ini bagi mengukuhkan kewujudan isoglos bagi lapan varian dialek kawasan yang merangkumi varian Makam Lama, varian Tajin, varian Butut, varian Pauh, varian Bidur, varian Kuala Pueh, varian Jenagor dan varian Baung. Taburan varian untuk kebanyakan kawasan kajian di sepanjang LST adalah berbeza mengikut pengaruh pertuturan penuturnya dengan keadaan geografi kawasan kajian. Ringkasnya, penyebaran sesuatu dialek adalah sangat dipengaruhi oleh keadaan geografi atau bentuk muka bumi di persekitaran kawasan kajian seperti lembangan sungai, bukit bukau, hutan, bertanah pamah dan tasik. Dapatan kajian juga membuktikan tiada sebarang penemuan dialek luar atau bahasa Orang Asli di sepanjang Lembangan Sungai Terengganu. Kajian ini memberi implikasi kepada penambahan kosa ilmu linguistik khususnya bidang kajian Geografi Dialek, di samping mempertingkatkan kefahaman tentang variasi dialek Melayu dalam pendidikan variasi bahasa/dialek Melayu di sekolah, universiti dan kementerian pendidikan. Kajian ini adalah signifikan kepada para ahli linguistik Melayu yang berusaha meneruskan legasi pengkajian dialek di Malaysia dan kelestarian budaya Melayu

    Kefahaman masyarakat kepulauan terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaan

    Get PDF
    Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kefahaman masyarakat kepulauan di Malaysia terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah digubal pada tahun 1971. 484 orang responden (berumur dalam lingkungan 30 tahun ke bawah hingga ke 55 tahun) yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Labuan, Pulau Tioman, Pulau Redang, Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi telah dipilih. Kira-kira 90% responden merupakan kelompok paling aktif dalam arena pembangunan negara manakala 10% lagi terdiri daripada kelompok 55 tahun dan ke atas. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan borang soal selidik yang terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian data responden dan bahagian kefahaman responden tentang budaya kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Hasil soal selidik yang lengkap dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences. Analisis data dalam makalah ini berfokus kepada analisis Angkubah Demografi dan Tabulasi Silang. Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan bahawa masyarakat kepulauan memahami serta menerima Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dua angkubah sosial yang menyerlahkan perkaitan rapat dengan kefahaman Dasar Kebudayaan Kebangsaan Malaysia ialah angkubah bangsa dan agama. Kajian ini membuktikan bahawa kedua-dua angkubah ini paling signifikan dalam konteks perpaduan antara kaum dan keharmonian di Malaysia. Kajian ini memberi impak yang signifikan terhadap masyarakat multi-etnik yang berkaitan dengan aspek jati diri dan perpaduan kaum, serta kepada pihak atau agensi yang terlibat dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam merangka dasar-dasar yang berkaitan perpaduan kaum pada masa akan datang
    corecore