27 research outputs found

    Pemikiran belia Malaysia: pengaruh umur, etnisiti dan status ekonomi

    Get PDF
    Kajian ini telah dilakukan untuk membandingkan bentuk pemikiran belia yang berlainan tahap umur. Data kajian juga dapat menentukan pengaruh etnik terhadap bentuk pemikiran belia, dan juga dapat memperlihatkan pengaruh status ekonomi terhadap cara belia berfikir. Data kajian lapangan telah dikumpul menggunakan satu set borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Instrumen kajian telah dibentuk menggunakan Skala Likert. Kajian telah dilakukan di tiga kawasan iaitu Felda Trolak Selatan di Perak, Ramuan Cina di Melaka dan Bandar Baru Bangi di Selangor. 912 orang belia dari pelbagai tahap umur, etnik dan status ekonomi telah dipilih sebagai responden kajian. Dapatan kajian jelas menunjukkan tahap umur mempengaruhi cara belia berfikir. Dapatan turut menunjukkan terdapat perbezaan yang ketara dalam bentuk pemikiran belia yang berlainan etnik. Data kajian juga menunjukkan cara belia berfikir adalah berbeza disebabkan oleh perbezaan status ekonomi. Perbezaan pemikiran adalah disebabkan oleh pelbagai faktor, khususnya pemboleh ubah-pemboleh ubah yang menjadi fokus dalam kajian ini. Dapatan kajian dapat memberikan petunjuk yang berguna kepada para perancang dan pelaksana program intervensi dan pemerkasaan belia di Malaysia. Belia yang datang dari latar belakang kehidupan yang berbeza harus menerima bentuk intervensi dan latihan pemerkasaan yang berbeza. Jika faktor tahap umur, etnik dan status ekonomi dapat dipertimbangkan dan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan pelbagai program yang melibatkan belia, taklimat dan latihan yang diberikan kepada mereka akan memberikan kesan yang jauh lebih baik. Perbezaan tahap umur, etnik dan status sosio ekonomi telah menyebabkan perbezaan cara berfikir dalam kalangan belia Malaysia

    Isu membidaahkan amalan masyarakat Melayu: analisis wacana media massa

    Get PDF
    Isu membidaahkan amalan masyarakat Melayu boleh mengancam perpaduan umat Islam. Meskipun kerajaan Malaysia telah mewartakan fatwa untuk menjaga keharmonian namun masalah ini belum dapat dibendung. Sehubungan itu, kajian ini dilakukan bagi menganalisis isu membidaahkan amalan masyarakat Melayu menerusi wacana media massa. Tujuan utama kajian adalah untuk mengenal pasti jenis dan bentuk pembidaahan semasa serta punca-puncanya sekali gus membantu mencari jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut. Dari segi metodologi, kajian ini bersifat kualitatif. Data kajian ini diperolehi dari kandungan laporan akhbar arus perdana berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian serta akhbar tabloid seperti Sinar Harian dan Kosmo dari tahun 2011 hingga 2017. Analisis deskriptif ke atas kandungan laporan akhbar dibuat untuk memberi pencerahan secara logik dan rasional menggunakan teori dan konsep bidaah yang dipakai dalam fatwa rasmi di Malaysia. Hasil kajian menunjukkan terdapat enam perspektif yang perlu diberi perhatian dalam isu membidaahkan amalan masyarakat Melayu, iaitu konsep bidaah yang tidak jelas atau belum dapat diterima oleh sebahagian masyarakat, kekeliruan masyarakat antara persoalan bidaah dan khilafiah, kelemahan memahami konsep sunnah yang sebenar, kekaburan menyentuh konsep difusi antara agama dan budaya, kebimbangan masyarakat terhadap sifat taksub sesetengah pihak dengan kefahaman yang dipegangnya tentang bidaah dan kerisauan masyarakat terhadap sifat ekstrem pada sesetengah pihak yang keras menentang pihak yang dianggapnya ahli bidaah

    Isu membidaahkan amalan masyarakat Melayu: analisis wacana media massa

    Get PDF
    Isu membidaahkan amalan masyarakat Melayu boleh mengancam perpaduan umat Islam. Meskipun kerajaan Malaysia telah mewartakan fatwa untuk menjaga keharmonian namun masalah ini belum dapat dibendung. Sehubungan itu, kajian ini dilakukan bagi menganalisis isu membidaahkan amalan masyarakat Melayu menerusi wacana media massa. Tujuan utama kajian adalah untuk mengenal pasti jenis dan bentuk pembidaahan semasa serta punca-puncanya sekali gus membantu mencari jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut. Dari segi metodologi, kajian ini bersifat kualitatif. Data kajian ini diperolehi dari kandungan laporan akhbar arus perdana berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian serta akhbar tabloid seperti Sinar Harian dan Kosmo dari tahun 2011 hingga 2017. Analisis deskriptif ke atas kandungan laporan akhbar dibuat untuk memberi pencerahan secara logik dan rasional menggunakan teori dan konsep bidaah yang dipakai dalam fatwa rasmi di Malaysia. Hasil kajian menunjukkan terdapat enam perspektif yang perlu diberi perhatian dalam isu membidaahkan amalan masyarakat Melayu, iaitu konsep bidaah yang tidak jelas atau belum dapat diterima oleh sebahagian masyarakat, kekeliruan masyarakat antara persoalan bidaah dan khilafiah, kelemahan memahami konsep sunnah yang sebenar, kekaburan menyentuh konsep difusi antara agama dan budaya, kebimbangan masyarakat terhadap sifat taksub sesetengah pihak dengan kefahaman yang dipegangnya tentang bidaah dan kerisauan masyarakat terhadap sifat ekstrem pada sesetengah pihak yang keras menentang pihak yang dianggapnya ahli bidaah

    Amalan ritual dalam masyarakat Bajau Filipina di Pulau Gaya: satu kajian tentang upacara pengurusan jenazah

    Get PDF
    Penyelidikan ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti pengurusan jenazah yang diamalkan oleh masyarakat Bajau Filipina di Pulau Gaya. Selain itu, kajian ini juga adalah untuk meneliti unsur animisme dalam pengurusan jenazah masyarakat Bajau Filipina di Pulau Gaya. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan pendekatan kualitatif selaras dengan matlamat dan hala tuju kajian iaitu dua metod penyelidikan seperti kaedah kajian lapangan dengan menebual informan dan kaedah perpustakaan dengan merujuk teks kajian, rujukan tafsir, hadis dan pandangan ulama klasik, buku dan jurnal. Hasil penyelidikan membuktikan bahawa masyakat Bajau Filipina masih mengamalkan adat nenek moyang terutamanya dalam proses pengurusan jenazah. Melalui kajian ini juga terdapat beberapa unsur animisme yang masih dilakukan dalam beberapa ritual. Namun begitu, tidak dapat dinafikan sebahagian besar upacara pengurusan jenazah Masyarakat Bajau Filipina masih mempunyai nilai-nilai Islam. Walaupun begitu, amalan-amalan ritual yang bercanggah dengan ajaran Islam kian pudar akibat kesedaran agama dan juga faktor kewangan kerana ritual-ritual yang biasa dilakukan memerlukan kos yang tinggi. Kajian ini juga secara tidak langsung menimbulkan kesedaran masyarakat Bajau bahawa terdapat beberapa ritual yang mereka lakukan bercanggah dengan ajaran Islam dan perlu ditinggalkan

    Kontroversi program “I Want To Touch A Dog” dalam media kontemporari daripada perspektif Melayu

    Get PDF
    Isu menyentuh anjing dalam program I Want to Touch a Dog di Petaling Jaya akhir tahun 2014 menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat Melayu Islam Malaysia. Isu semasa yang disiarkan oleh media massa kontemporari itu amat mengganggu sensitiviti agama dan emosi kebanyakan orang Melayu daripada segenap lapisan. Hal ini adalah disebabkan oleh pertentangan dengan nilai dan norma budaya Melayu. Oleh itu penelitian ini dijalankan untuk melihat survival pemikiran Melayu dalam mendepani penganjuran suatu perbuatan yang amat terlarang dalam konteks rasa, pemikiran, akhlak dan budaya Melayu. Melalui perkhidmatan media massa kontemporari data utama penelitian diambil. Kandungan berita-berita sensasi mengenai isu diteliti dan diinterpretasi menurut realiti Melayu Islam. Kajian menunjukkan peranan media massa dan ahli komuniti yang terdiri daripada pelbagai lapisan seperti pemimpin Melayu walaupun berbeza fahaman politik, ulama, tokoh masyarakat dan masyarakat umumnya bersatu hati dan tindakan untuk membendung isu ini daripada terus merebak

    Akta Warisan Kebangsaan 2005 Akta 645): penilaian dari aspek perundangan dan penguatkuasa

    Get PDF
    Kajian ini membincangkan mengenai impak undang-undang terhadap warisan di Malaysia. Warisan yang dimiliki perlu diberikan perlindungan sewajarnya supaya dapat dinikmati generasi seterusnya. Kerajaan telah menggubal Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) untuk memberi perlindungan yang wajar dan komprehensif kepada warisan negara. Objektif kajian ini ialah mengenal pasti keberkesanan Akta Warisan Kebangsaan dalam memberi perlindungan terhadap warisan negara. Kajian ini menggunakan metodologi kajian kualitatif iaitu pemerhatian dan kajian perpustakaan dalam usaha mengumpul bahan-bahan kajian. Keperluan suatu bentuk perlindungan dari segi undang-undang diinterpretasikan melalui Akta Warisan Kebangsaan. Penemuan kajian ini mendapati penggubalan Akta Warisan Kebangsaan berkemampuan memberi perlindungan melalui peruntukan undang-undang yang termaktub di dalamnya. Justeru itu, kajian ini dapat memberi sumbangan yang bermakna dalam usaha memberi perlindungan kepada warisan negara

    Adat bertunang: satu kajian perbandingan antara etnik Melayu dengan etnik India

    Get PDF
    Kajian ini menganalisis adat yang diamalkan oleh etnik Melayu dan etnik India berhubung adat bertunang sebelum upacara perkahwinan masing-masing. Kajian ini dijalankan untuk membandingkan perbezaan adat bertunang antara masyarakat Melayu dengan masyarakat India di Malaysia. Objektif kajiannya adalah untuk mengenalpasti adat bertunang yang diamalkan oleh kedua-dua etnik. Seterusnya, untuk melihat perbezaan adat bertunang antara etnik Melayu dengan etnik India. Tambahan pula, kajian ini juga dijalankan untuk melihat persamaan adat bertunang antara masyarakat Melayu dengan India. Metod yang digunakannya ialah kaedah kepustakaan dan kaedah pemerhatian. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat beberapa persamaan sahaja antara etnik Melayu dengan etnik India iaitu ialah kedua-dua etnik ini mengamalkan adat merisik sebelum upacara bertunang dilangsungkan. Seterusnya, kedua-dua etnik ini akan mengadakan adat berinai. Terdapat banyak perbezaan adat bertunang antara masyarakat Melayu dengan India. Antaranya ialah dalam masyarakat India, mengkaji kecocokan pengantin semasa upacara pertunangan diadakan manakala dalam masyarakat Melayu pula, pengkajian kecocokan pengantin tidak diamalkan. Seterusnya ialah dalam masyarakat India penyediaan thaali akan dibincangkan. Dalam masyarakat Melayu, pengantin akan tukar cincin dan membincangkan tentang hal-hal penting sahaja. Oleh itu, kajian ini dapat mengembalikan adat pertunangan yang telah dilupai oleh generasi masa kini

    Seni bela diri Melayu dalam Silat Cekak Pusaka Hanafi

    Get PDF
    Kajian ini menganalisis seni bela diri Melayu yang dikenali sebagai Silat Cekak Pusaka Hanafi. Fokus diberikan kepada struktur dan fungsi gerak buah silat yang menjadi kekuatan sebenar pencak persilatan Melayu. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah kajian perpustakaan dan kajian lapangan yang melibatkan pemerhatian ke atas demonstrasi 21 gerak buah silat tersebut serta menemu bual pewaris mutakhir yang masih aktif. Data dianalisis menggunakan Teori Struktural Fungsional oleh Talcott Parson yang mengandungi empat konsep iaitu, adaptasi, tujuan, pemeliharaan pola-pola dan integrasi. Teori ini diaplikasi bagi merungkai aspek struktur dan fungsi gerak buah silat ini. Melalui konsep adaptasi didapati 21 gerak buah diadaptasikan daripada 4 pergerakan solat iaitu, berdoa, qiam, rukuk dan takbiratul ihram bersama 5 bentuk pergerakan asas semula jadi manusia seperti berjalan, menepis, menetak, mencekik dan memijak. Melalui konsep tujuan, didapati 21 gerak buah ini bermatlamat mempertahankan diri dengan dimulakan dari bahagian teratas kepala hingga ke paras paha pesilat. Menerusi konsep pemeliharaan pola-polanya, dilihat bentuk asli 21 gerak buah ini dapat dikekalkan sejak dari 52 tahun lalu diasaskan. Akhirnya menerusi konsep integrasi, dilihat wujud kesepaduan antara adaptasi, tujuan dan pemeliharaan pola-pola dan integrasi 21 gerak buah ini. Dengan ini boleh difahami bahawa struktur dan fungsi dalam 21 gerak buah ini membantu memelihara keaslian persilatan ini. Struktur dan fungsi ini juga memperjelaskan ciptaan gerak buah adalah dipengaruhi oleh ciri-ciri budaya dan akal budi Melayu seperti mencontohi pergerakan solat orang Melayu Islam serta beberapa gerakan asas dalam aktiviti seharian mereka demi menjaga diri dan menyatakan kesyukuran ke atas nikmat pemberian nyawa dan segala anggota tubuh

    Asas pembuatan kerongsang Melayu

    Get PDF
    Kajian ini mengenai asas pembuatan kerongsang Melayu. Kajian dilakukan untuk mengenalpasti asas pembuatan kerongsang Melayu di Malaysia. Kajian bersifat komprehensif belum pernah dilakukan. Kajian ini mengenalpasti perubahan pada kerongsang dan tradisi ke kontemporari. Kajian lain ialah mengenalpasti bahan dan teknik-teknik dalam pembuatan kerongsang Melayu. Tujuan kajian ini mengenalpasti pembuatan kerongsang Melayu tradisi, mengenalpasti pembuatan kerongsang Melayu kontemporari dan bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan kerongsang Melayu. Metodologi kajian ini dilakukan di beberapa lokasi seperti muzium tradisi dan di kilang pembuatan kerongsang Melayu D’orRue Sdn Bhd yang terletak di Batu Caves. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan etnografi seperti pemerhatian, tinjauan, dokumentasi dan kepustakaan. Hasil kajian tentang kerongsang Melayu ialah pengetahuan tentang cara pembuatan kerongsang melayu tradisional yang terdiri daripada beberapa teknik iaitu teknik tebuk, teknik pahat, teknik karut dan teknik pahat silat. Proses pembuatan kerongsang cara moden kontemporari yang dikaji seperti acuan reka bentuk, pendinginan, pemutus acuan, mengilap, kimpalan, saduran emas atau rodhium, penatahan batu, kristal atau mutiara, dan pembersihan. Sumbangan kajian ialah asas pembuatan kerongsang Melayu cara tradisional dan cara moden dikilangkan dapat dikenal pasti

    Pelancongan budaya di Sungai Lembing

    Get PDF
    Pelancongan budaya di kawasan Sungai Lembing kurang mendapat sambutan daripada masyarakat luar. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan untuk memperkenalkan sejarah, perkembangan, produk budaya yang ditawarkan serta mengkaji tentang usaha pihak kerajaan serta impak pelancongan terhadap masyarakat setempat. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk menyedarkan masyarakat setempat yang tinggal di Sungai Lembing mengenai kesan-kesan pelancongan budaya ini dari beberapa aspek iaitu ekonomi, sosial dan budaya. Seterusnya, bertujuan untuk memastikan dan mencari inisiatif dalam memajukan pelancongan ini ke peringkat yang lebih tinggi. Metodologi kajian yang digunakan ialah kualitatif dan kajian lapangan iaitu menggunakan kaedah temu bual, pemerhatian, kepustakaan, tinjauan turut serta, rakaman suara serta transkripsi. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat impak negatif dan positif dari aktiviti pelancongan yang dijalankan serta pihak kerajaan paling bertanggungjawab dalam usaha memajukan sektor pelancongan. Usaha yang paling penting ialah dari pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam memelihara dan memulihara infrastrukur serta memajukan sektor perkhidmatan penginapan. Tuntasnya, kajian ini menyentuh tentang tempat-tempat yang menjadi daya tarikan pelancongan dan mengupas tentang usaha-usaha pihak terlibat dalam memajukan sektor pelancongan ini supaya lebih dikenali ramai
    corecore