1 research outputs found

    Penggunaan bahasa Melayu dalam pengurusan dan pentadbiran di Universiti Kebangsaan Malaysia

    Get PDF
    Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah termaktub dalam perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia (1963). Pelaksanaan akta ini diterjemahkan melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mempastikan penggunaan bahasa Melayu secara meluas dalam program rasmi agensi kerajaan mahupun swasta, tetapi masih terdapat pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya termasuk universiti awam. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengkaji penggunaan bahasa Melayu dalam pengurusan dan pentadbiran di UKM. Kajian yang menggunakan reka bentuk tinjauan ini telah menggunakan soal selidik dan temu bual berstruktur sebagai instrumen kajian. Responden terdiri daripada 562 orang kakitangan UKM yang menjalankan tugasan pengurusan dan pentadbiran di UKM. Temu bual berstruktur melibatkan sepuluh orang informan yang terdiri daripada tiga kategori, iaitu pentadbir akademik, pengurusan dan profesional serta pelaksana. Analisis data dilakukan secara deskriptif dipaparkan dalam bentuk frekuensi dan peratus. Manakala, temu bual berstruktur dianalisis menggunakan kaedah verbatim. Hasil kajian mendapati bahawa majoriti responden dan informan menyokong penggunaan bahasa Melayu dalam pengurusan dan pentadbiran. Manakala hampir sebahagian besar responden dan informan bersetuju penggunaan dwibahasa dalam progam di UKM pada peringkat antarabangsa. Daripada aspek penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di UKM pula, kajian mendapati penggunaan bahasa Melayu yang tertinggi adalah bagi urusan boring. Manakala kategori yang paling tidak menggunakan bahasa Melayu adalah dalam komunikasi lisan dengan pelanggan luar. Hasil temu bual juga mendapati warga UKM menyokong penuh cadangan penyediaan Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Pengurusan Pentadbiran di UKM. Implikasi hasil kajian mendapati garis panduan penggunaan bahasa Melayu dalam pengurusan dan pentadbiran di universiti awam adalah suatu keperluan sebagai satu mekanisme untuk memartabatkan bahasa Melayu
    corecore