1 research outputs found
Akses terbuka sebagai medium pemartabatan bahasa Melayu
Akses terbuka merupakan sebuah pangkalan data teks penuh yang boleh diakses secara percuma
tanpa ada sekatan dari segi pembayaran dan boleh diakses oleh sesiapapun di seluruh dunia. Akses
terbuka ini mengandungi segala jenis bahan daripada yang bersifat umum sehinggalah artikel jurnal
ilmiah, saintifik dan berkualiti. Penerbitan artikel ilmiah terus berkembang dari semasa ke semasa
dan pada 2010, lebih daripada 40 juta artikel telah diindeks oleh Scopus manakala 2016 pula, jumlah
penerbitan ilmiah yang diindeks oleh Scopus bagi Malaysia ialah sebanyak 24,168 artikel iaitu jumlah
terbanyak di Asia Tenggara. Namun, persoalannya berapa banyakkah daripada jumlah tersebut yang
dapat diakses secara terbuka dan menggunakan kata kunci bahasa Melayu dalam penulisan
tersebut? Makalah ini bertujuan untuk menganalisis kandungan dalam akses terbuka berdasarkan
dua kata kunci iaitu “Bahasa Melayu” dan “Bahasa Melayu”+“Malaysia”. Seterusnya menjelaskan
hubungan antara akses terbuka dengan pemartabatan bahasa Melayu. Hasil kajian menunjukkan
bahawa, terdapat sebanyak 12,960,000 jumlah hasil pencarian bagi kedua-dua kata kunci yang telah
dipilih. Kata kunci bagi “Bahasa Melayu”+“Malaysia” telah menunjukkan kandungan bahan ilmiah
yang lebih banyak berbanding kata kunci “Bahasa Melayu” sahaja. Selain itu, hubungan antara akses
terbuka dengan pemartabatan bahasa Melayu ialah sebagai wadah penyebaran ilmu bahasa Melayu
di serata dunia, perkongsian sumber ilmu bahasa Melayu antara institusi akademik dan
perpustakaan, simpanan bahan bahasa Melayu dalam pangkalan data sepanjang zaman dan
pengukur kepada kewibawaan penyelidik dan kualiti bahan terbitan Bahasa Melayu. Oleh sebab itu,
teknologi akses terbuka harus dimanfaatkan sebaiknya sebagai medium pemartabatan bahasa
Melayu