2 research outputs found

    Variasi leksikal ganti nama diri dalam varian Ulu Berang

    Get PDF
    Makalah ini bertujuan untuk mengkaji tentang keistimewaan leksikal ganti nama diri yang wujud dalam subdialek Ulu Berang. Subdialek Ulu Berang adalah salah satu bentuk pertuturan yang dituturkan oleh orang Melayu Terengganu di kampung Payang Kayu dan Baong. Subdialek ini kurang dikenali umum kerana subdialek ini dituturkan di pedalaman hulu mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu dan dipercayai terdapatnya beberapa leksikal yang unik diguna pakai oleh penutur subdialek tersebut. Selain itu keunikan leksikal dalam subdialek ini jelas berbeza dengan varian dialek Melayu Terengganu (DMT) atau dialek-dialek Melayu Semenanjung yang lain. Kajian ini memanfaatkan reka bentuk kualitatif iaitu kaedah lapangan dan temu bual informan untuk mendapatkan data-data leksikal ganti nama diri. Kajian ini memfokuskan tiga tahap perbincangan mengenai penggunaan leksikal ganti nama diri yang terdapat dalam subdialek Ulu Berang iaitu Kata Ganti Nama Diri Pertama (KGND1), Kata Ganti Nama Diri Kedua (KGND2) dan Kata Ganti Nama Diri Ketiga (KGND3). Secara ringkasnya, kajian ini mendapati bahawa terdapat sebanyak tujuh leksikal KGND yang digunakan dalam subdialek Ulu Berang ini iaitu [akǝʔ] [sajɛ] dan [kitɛ] (KGND1), [mǝŋ] dan [mumi] (KGND2), [dijɛ] dan [dimi] (KGND3). Leksikal [akǝʔ] dianggap mempunyai hubungan yang selesa dan akrab sesama mereka. Ia sering digunakan untuk merujuk seseorang individu berbanding [sajɛ]. Leksikal [kitɛ] yang merujuk kepada penanda jamak pula sering digunakan dalam setiap perbualan mereka. Penggunaan KGND2 [mǝŋ] merujuk kepada maksud kamu atau mu. Manakala [mumi] merujuk lebih dari seorang iaitu kamu semua. Leksikal [dijɛ] digunakan untuk merujuk orang ketiga secara individu manakala leksikal [dimi] dituju kepada orang ketiga secara jamak atau lebih dari seorang individu itu. Kajian ini memberi implikasi penting terhadap bidang pengkajian dialektologi Melayu dan bidang pendokumentasian dialek Melayu. Selain bertujuan memperlihatkan variasi leksikal KGND, kajian ini juga cuba memastikan agar pengetahuan mengenai leksikal dalam subdialek ini akan terus dipelihara, dilindungi dan dikenali oleh generasi yang akan datang

    Pemetaan isoglos varian dialek Terengganu berasaskan aplikasi sistem maklumat geografi

    Get PDF
    Makalah ini bertujuan menyerlahkan peta variasi Dialek Terengganu yang wujud di Lembangan Sungai Terengganu dengan mengaplikasikan perisian Sistem Maklumat Geografi (Geographical Information System). Variasi leksikal ‘aku’, ‘kamu’ dan ‘mereka’ yang berfungsi sebagai subjek dalam ujaran yang dituturkan oleh masyarakat kampung yang tinggal di sepanjang Lembangan Sungai Terengganu dimanfaatkan sepenuhnya dalam memenuhi objektif kajian ini. Kajian ini menerapkan kaedah kajian lapangan yang melibatkan teknik temu bual informan dan rakaman. Aspek geolinguistik dan bukan linguistik telah dikemukakan dalam makalah ini bagi mengukuhkan kewujudan isoglos bagi lapan varian dialek kawasan yang merangkumi varian Makam Lama, varian Tajin, varian Butut, varian Pauh, varian Bidur, varian Kuala Pueh, varian Jenagor dan varian Baung. Taburan varian untuk kebanyakan kawasan kajian di sepanjang LST adalah berbeza mengikut pengaruh pertuturan penuturnya dengan keadaan geografi kawasan kajian. Ringkasnya, penyebaran sesuatu dialek adalah sangat dipengaruhi oleh keadaan geografi atau bentuk muka bumi di persekitaran kawasan kajian seperti lembangan sungai, bukit bukau, hutan, bertanah pamah dan tasik. Dapatan kajian juga membuktikan tiada sebarang penemuan dialek luar atau bahasa Orang Asli di sepanjang Lembangan Sungai Terengganu. Kajian ini memberi implikasi kepada penambahan kosa ilmu linguistik khususnya bidang kajian Geografi Dialek, di samping mempertingkatkan kefahaman tentang variasi dialek Melayu dalam pendidikan variasi bahasa/dialek Melayu di sekolah, universiti dan kementerian pendidikan. Kajian ini adalah signifikan kepada para ahli linguistik Melayu yang berusaha meneruskan legasi pengkajian dialek di Malaysia dan kelestarian budaya Melayu
    corecore