3 research outputs found

    Kebolehupayaan fitoremediasi oleh Azolla pinnata dalam merawat air sisa akuakultur

    Get PDF
    Isu kekurangan sumber air bersih merupakan salah satu masalah utama pada masa kini. Bahan pencemar di dalam air merupakan antara penyumbang kepada masalah ini. Salah satu alternatif yang utama dalam penyingkiran bahan pencemar daripada air sisa adalah melalui kaedah fitoremediasi. Kajian ini bertujuan mengkaji kecekapan Azolla pinnata dalam merawat air sisa menggunakan kaedah fitoremediasi. Keberkesanan A. pinnata untuk menyerap nutrien adalah bergantung kepada kualiti air sisa dan kuantiti A. pinnata yang digunakan. Seterusnya satu uji kaji untuk menentukan biojisim A. pinnata selepas rawatan fitoremediasi telah dijalankan. Dalam hasil kajian ini, ammonia dan fosfat merupakan parameter yang utama dalam menentukan keberkesanan rawatan air sisa akuakultur menggunakan kaedah fitoremediasi A. pinnata. Hasil kajian menunjukkan penurunan drastik nilai ammonia apabila air sisa dirawat menggunakan A. pinnata iaitu daripada nilai bacaan purata 7.47 ke 1.67 mg/L. Sementara itu, kepekatan fosfat juga menunjukkan penurunan ketara selepas air sisa dirawat dengan A. pinnata daripada nilai purata 5.73 kepada 1.22 mg/L. Hasil daripada rawatan air sisa akuakultur dengan menggunakan fitoremediasi A. pinnata dapat menunjukkan perubahan disebabkan oleh peningkatan biojisim dengan nilai tertinggi 147.26 gram

    Kandungan makronutrien rumpai laut merah Kappaphycus alvarezii dan Kappaphycus striatum

    Get PDF
    Rumpai laut mempunyai pelbagai kandungan nutrien yang berpotensi untuk menjadi sumber makanan yang berkhasiat, namun hanya sedikit kajian yang dilakukan terhadap rumpai laut merah di Malaysia. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk menentukan kandungan makronutrien, profil asid amino dan komponen asid lemak Kappaphycus alvarezii dan Kappaphycus striatum. Hasil kajian mendapati julat kandungan lembapan, lemak, abu, protein, gentian dan karbohidrat bagi kedua-dua rumpai laut merah adalah masing-masing dalam lingkungan 6.9% - 7.3%, 0.5% - 2.6%, 29.4% - 30.9%, 2.5% - 5.7%, 5.3% - 5.5% dan 50.1% - 53.3%. Sebanyak 16 jenis asid amino telah dikenal pasti di mana kandungan asid amino perlu bagi K. alvarezii dan K. striatum masing-masing adalah sebanyak 41.11% dan 36.15%. Sebanyak 34 komponen asid lemak telah dikenal pasti di mana kandungan asid lemak tepu (SFA) adalah paling tinggi (42.7% - 72.8%) diikuti dengan asid lemak mono tidak tepu (MUFA) (13.8% - 36.2%) dan kandungan asid lemak poli tidak tepu (PUFA) adalah paling rendah (13.5% - 21.2%). Secara kesimpulannya, kajian ini mencadangkan bahawa K. alvarezii dan K. striatum berpotensi digunakan sebagai bahan mentah atau ramuan makanan untuk meningkatkan nilai pemakanan dalam diet manusia

    Penentuan kualiti air daripada sistem penuaian air hujan di Kolej Ungku Omar, UKM Bangi

    Get PDF
    Kajian ini bertujuan untuk menentukan tahap kualiti air hujan di dalam Sistem Penuaian Air Hujan iaitu MyRAWAS yang dibina di Kolej Kediaman Ungku Omar, UKM, Bangi. Parameter air hujan yang dikaji dibandingkan dengan Piawai Kualiti Air Kebangsaan Malaysia (NWQS) dan Piawai Kualiti Air Minum. Parameter yang diuji dalam analisis air hujan ialah suhu, pH, kekeruhan, jumlah pepejal terampai (TSS), oksigen terlarut (DO), permintaan oksigen biokimia (BOD), permintaan oksigen kimia (COD), ammonia-nitrogen (NH3-N), Koliform Jumlah dan Escherichia coli. Hasil kajian mendapati bahawa kesemua bacaan parameter mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Piawai Kualiti Air Kebangsaan Malaysia (NWQS) dan Piawai Air Minum Kebangsaan dengan purata nilai suhu, pH, kekeruhan, TSS, DO, BOD, COD dan NH3-N masing-masing berada pada julat 26.2°C-28.6°C, 6.18-6.36, 0.93-3.06 ntu, 1.0-4.6 mg/L, 6.21-8.29 mg/L, 0.21-0.43 mg/L, 3-7 mg/L dan 0.01-0.47 mg/L. Manakala bacaan Koliform Jumlah dan Escherichia coli berada di bawah had maksimum yang ditetapkan oleh Piawai Kualiti Air Minum. Berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA), kualiti air hujan di kawasan kajian berada pada kelas IIA bagi titik persampelan T1 dan T2 dan berubah menjadi kelas I selepas menjalani kaedah rawatan penapisan iaitu pada titik persampelan T3. Hasil kajian ini juga mendapati bahawa air tuaian hujan tersebut selamat untuk digunakan untuk aktiviti harian
    corecore