34 research outputs found
Peranan kata pinjaman Arab dalam memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa negara bangsa
Suatu hakikat yang tidak dapat disangkal ialah terdapat sejumlah besar kata pinjaman Arab dalam bahasa Melayu yang digunakan secara meluas dalam masyarakat Melayu. Penggunaan kata pinjaman Arab ini meliputi pelbagai aspek; agama, ekonomi, politik, undang-undang, perubatan dan sosial.Penerimaan masyarakat Melayu terhadap kata pinjaman Arab adalah positif sehingga dapat mengayakan bahasa Melayu itu sendiri. Justeru, kajian ini melihat sejauh manakah kata pinjaman Arab ini berperanan memperkaya bahasa Melayu dari pelbagai aspek yang mampu memperkukuh fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Seterusnya kajian ini menganalisis peranan kata pinjaman Arab tersebut berlandaskan aspek yang ditentukan. Untuk tujuan itu, sejumlah perkataan pinjaman Arab yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4 (KDEK4) dijadikan subjek kajian. Kata pinjaman Arab tersebut akan dikategorikan mengikut aspek yang dikemukakan oleh para sarjana bahasa. Hasil daripada penelitian yang dilakukan mendapati bahawa pengaruh dan kesan kata pinjaman Arab terhadap bahasa Melayu dilihat akan tetap dan terus berlaku hingga sekarang terutama sekali dalam bidang agama, perundangan, ekonomi dan hukum-hakam Islam. Hal ini adalah penting untuk membolehkan bahasa Melayu ini bergerak maju seiring dengan kemajuan yang dilalui oleh masyarakat penuturnya yang mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Negara Bangsa
Analisis keperluan pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan warga emas
Analisis keperluan merupakan satu syarat penting dalam membina sesuatu program bahasa Arab yang efektif terutamanya yang melibatkan golongan dewasa khususnya warga emas. Prinsip atau teori pembelajaran dewasa yang melihat bahawa golongan dewasa mempunyai autoriti dalam menentukan keperluan dan kehendak pembelajaran memerlukan kepada analisis awal keperluan tersebut sebelum menjalankan sesuatu modul pembelajaran bahasa kepada mereka bagi memastikan keperluan dan kehendak ini dipenuhi. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor yang mendorong warga emas mempelajari bahasa Arab, menyenaraikan bahan yang bertepatan dengan keperluan pembelajaran mereka serta menganalisis proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang sesuai untuk mereka. Kajian yang menggunakan pendekatan kualitatif ini melibatkan lima (5) orang responden yang pernah mengikuti kursus bahasa Arab. Pengumpulan data kajian dibuat melalui rakaman temu bual. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga (3) faktor utama golongan warga emas mempelajari bahasa Arab iaitu faktor agama, faktor komunikasi dan faktor kemasyarakatan. Berkenaan bahan pembelajaran, golongan warga emas cenderung untuk mempelajari topik yang berkaitan dengan tema agama, tema komunikasi, unsur bahasa seperti fonologi, morfologi, sintaksis, kosa kata serta keindahan bahasa dan unsur kemahiran bahasa iaitu membaca, bercakap, mendengar dan menulis. Kajian yang dijalankan ini telah berjaya membuktikan akan kepentingan melaksanakan analisis keperluan kerana ia terbukti berjaya dalam menyingkap keperluan dan kehendak pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan warga emas yang boleh direalisasikan dengan pembinaan suatu modul khusus untuk golongan tersebut. Analisis keperluan merupakan satu syarat penting dalam membina sesuatu program bahasa Arab yang efektif terutamanya yang melibatkan golongan dewasa khususnya warga emas. Prinsip atau teori pembelajaran dewasa yang melihat bahawa golongan dewasa mempunyai autoriti dalam menentukan keperluan dan kehendak pembelajaran memerlukan kepada analisis awal keperluan tersebut sebelum menjalankan sesuatu modul pembelajaran bahasa kepada mereka bagi memastikan keperluan dan kehendak ini dipenuhi. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor yang mendorong warga emas mempelajari bahasa Arab dan menyenaraikan bahan yang bertepatan dengan keperluan pembelajaran mereka. Kajian yang menggunakan pendekatan kualitatif ini melibatkan lima (5) orang responden yang pernah mengikuti kursus bahasa Arab. Pengumpulan data kajian dibuat melalui rakaman temu bual. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga (3) faktor utama golongan warga emas mempelajari bahasa Arab iaitu faktor agama, faktor komunikasi dan faktor kemasyarakatan. Berkenaan bahan pembelajaran, golongan warga emas cenderung untuk mempelajari topik yang berkaitan dengan tema agama, tema komunikasi, unsur bahasa seperti fonologi, morfologi, sintaksis, kosa kata serta keindahan bahasa dan unsur kemahiran bahasa iaitu membaca, bercakap, mendengar dan menulis. Kajian yang dijalankan ini telah berjaya membuktikan akan kepentingan melaksanakan analisis keperluan kerana ia terbukti berjaya dalam menyingkap keperluan dan kehendak pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan warga emas yang boleh direalisasikan dalam membina sesuatu program pembelajaran untuk golongan tersebut
Penggunaan kata pinjaman Arab dalam bahasa Melayu dan implikasinya terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab
Kata pinjaman bermaksud kata yang dipinjam secara langsung daripada bahasa asing atau kata yang diterjemahkan atau konsep makna yang ditiru daripada kata asing tersebut. Perkataan Arab yang dipinjamkan ke dalam Bahasa Melayu meliputi pelbagai aspek dan menyeluruh dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkataan Arab yang dipinjam ini telah melalui perubahan dari segi bunyi dan makna. Dari segi bunyi, beberapa perkataan Arab yang dipinjam telah melalui beberapa proses penyesuaian seperti: pengguguran satu daripada dua fonem yang sama, penggantian fonem dengan fonem lain. Dari segi makna pula, didapati berlaku perubahan dalam proses penggunaannya. Di antara perubahannya ialah kata-kata yang dipinjam diberi makna baru sama ada berlainan atau berlawanan. Kata pinjaman itu juga membawa makna yang lebih sempit atau dikhususkan daripada makna asalnya. Perubahan makna yang drastik ini ada kalanya mendatangkan masalah kepada pengguna. Hal ini juga akan menyebabkan pelajar bahasa Arab mengalami kesukaran serta mengganggu kelancaran semasa menggunakannya dalam proses pembelajaran bahasa Arab. Justeru, kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh mana ketepatan pelajar IPTA menggunakan kata pinjaman Arab ini dalam penulisan bahasa Arab mereka serta mengklasifikasi bentuk penggunaannya. Diharapkan rumusan kajian ini dapat membantu semua pihak yang terlibat sama ada dari pihak pengajar mahu pun pelajar. Dari pihak pengajar, diharapkan hasil kajian ini dapat membantu tenaga pengajar bahasa Arab supaya memberi perhatian dan tumpuan yang lebih kepada pelajar terhadap aspek yang belum dikuasai oleh mereka. Ianya juga dapat membantu tenaga pengajar bahasa Arab untuk memilih bahan yang sesuai dalam pengajaran mereka. Manakala dari pihak pelajar pula, saranan yang sesuai akan diketengahkan untuk meningkatkan penguasaan mereka dalam mengguna kata pinjaman Arab dalam bahasa Melayu dengan betul dan tepat
Penggunaan kata pinjaman Arab dalam puisi Melayu
Puisi Melayu, sebagaimana bahasa Melayu itu sendiri, kaya dengan perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Penggunaannya agak meluas antara perkataan yang sering digunakan dan yang jarang-jarang ditemui. Dalam puisi Melayu, penggunaan kata pinjaman Arab dalam sesetengah keadaan dilihat boleh menimbulkan kekeliruan sekiranya tidak menepati maksud asal penggunaannya dalam bahasa asal. Kajian ini merupakan suatu usaha untuk mengenal pasti dan menganalisis aspek penggunaan kata pinjaman Arab dalam kumpulan puisi Melayu moden. Kumpulan puisi tersebut adalah antologi puisi Sumur Mahmudah karya Ony Latifah Osman (2006). Data kajian diperoleh berdasarkan pemilihan kata pinjaman Arab yang menyampaikan maksud tertentu dalam sesebuah puisi. Dapatan kajian ini merumuskan terdapat dua kategori penggunaan bahasa pinjaman Arab dalam teks puisi yang dikaji, iaitu; kategori penggunaan yang menepati makna asal dalam bahasa Arab dan ketegori penggunaan yang tersasar dari maksud asalnya
Pemilihan kosa kata dalam pembinaan modul pembelajaran asas bahasa Arab untuk pelajar warga emas
Mutakhir ini pembelajaran bahasa Arab telah mendapat tempat dalam kalangan orang awam dewasa sehingga kepada warga emas yang terdiri dari pelbagai latarbelakang. Terdapat banyak bahan atau modul pembelajaran telah diusahakan untuk memenuhi minat yang semakin meningkat ini. Namun begitu bahan yang digunakan di dalam modul kurang mengambil kira pendekatan dan prinsip pembelajaran dewasa andragogi. Bahan yang dihasilkan di pasaran agak berat dan membataskan motivasi orang awam, terutamanya warga emas untuk mempelajari bahasa Arab.Kosa kata yang diperkenalkan kurang menepati keperluan belajar bahasa Arab warga emas. Kajian ini berusaha merekabentuk suatu modul pembelajaran asas bahasa Arab khusus untuk pelajar warga emas . Rekabentuk akan dibina berdasarkan langkah-langkah reka bentuk instruksi yang terdiri daripada lima fasa utama, iaitu analisis, reka bentuk, pembangunan, pelaksanaan dan penilaian modul berasaskan teori dan prinsip pembelajaran dewasa Knowles. Kosa kata adalah instrumen asas bagi menyampaikan idea dan subkemahiran bahasa yang perlu diberikan perhatian dan dikuasai dengan baik oleh pelajar bahasa. Pemilihan kosa kata adalah satu aspek yang dititikberatkan dalam pembinaan modul pembelajaran bahasa. Artikel ini berusaha untuk menekankan bahawa pemilihan kosa kata yang tepat dan bersesuaian dengan psikologi warga emas akan membantu pemerolehan bahasa dalam kalangan mereka
Pembelajaran Bahasa Arab warga emas: konsep, prinsip & keperluan
Pembelajaran bahasa Arab untuk tujuan agama merupakan faktor pendorong utama masyarakat Islam mempelajari bahasa Arab. Hasil kajian mendapati bahawa majoriti warga emas menyukai topik dan bahan pembelajaran yang lebih memfokuskan aspek asas bahasa Arab seperti unsur fonetik Arab, petikan berkaitan dengan kelebihan bahasa Arab, bahasa Arab untuk ibadah seperti bacaan solat, ayat al-Quran, Hadis, doa harian, zikir dan bahan pembelajaran yang berkait rapat dengan kehendak realiti kehidupan mereka pada hujung usia. Fenomena dewasa ini memperlihatkan meningkatnya kecenderungan warga emas untuk belajar pada usia tua. Buah fikiran yang disajikan buku ini berkaitan dengan keperluan warga emas diharapkan dapat memberikan sumbangan kepada guru yang mengajar golongan ini supaya menggunakan kaedah atau metode yang terbaik untuk melaksanakan proses pembelajaran. Beberapa masalah berkaitan dengan pembelajaran bahasa Arab telah dikenal pasti termasuklah berlakunya pengabaian pelaksanaan proses analisis keperluan dan ketiadaan modul bahasa Arab untuk warga emas yang khusus
Pedoman penulisan ilmiah: Bahasa Arab
Buku ini direka untuk memberi penjelasan mengenai maklumat asas dalam penulisan kajian ilmiah. Maklumat ini dimulakan dengan pengenalan, cara mengolah pernyataan masalah, objektif, kepentingan dan batasan kajian, seterusnya cara menganalisis data dan persembahan dapatan. Ia dilengkapi dengan gaya bahasa dan contoh ayat yang digunakan dalam penulisan ilmiah untuk memudahkan pelajar semasa menulis dan asas yang digunakan dalam bidang penulisan ilmiah. Pada bahagian akhir buku ini turut dipaparkan format yang lengkap bagi sebuah kajian ilmiah prasiswazah serta tatacara penilaiannya
Kepentingan nahu Arab dalam menghafaz al-Quran
Kajian ini meninjau persepsi pelajar tahfiz terhadap kepentingan pengetahuan nahu Arab dalam menghafaz al-Quran. Untuk tujuan itu, satu set soal selidik jenis skala Likert telah diedarkan kepada pelajar tahfiz yangsedang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Dalam pemilihan responden, hanya mereka yang mempunyai pengetahuan bahasa Arab pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja dipilih. Kajian ini menggunakan teknik persampelan bertujuan (purposive sampling) menggunakan borang Google yang diedarkan melalui aplikasi WhatsApp. Seramai 109 orang pelajar daripada 21 buah IPT, sama ada di dalam mahupun luar negara telah menyertai kajian ini. 70.6% daripada para pelajar ini telah menghafaz 30 juzuk al-Quran dan majoriti daripada mereka (89%) mendapat prestasi cemerlang dalam peperiksaan bahasa Arab SPM. Analisis faktor dengan Kaedah Komponen Prinsipal menunjukkan kesahan konstruk item yang dibina, manakala nilai Cronbach Alfa melebihi 0.7 menunjukkan kebolehpercayaan item kajian. Dua faktor yang terbina sebagai konstruk kajian ini telah diekstrak daripada 15 item yang dikemukakan dan dinamai sebagai kepentingan nahu sebagai strategi hafazan dan kepentingan nahu sebagai faktor motivasi. Penentuan kedua-dua fungsi ini berdasarkan ciri-ciri item subkumpulan berkenaan. Analisis deskriptif menunjukkan bahawa pelajar tahfiz mempunyai persepsi yang tinggi terhadap konstruk kepentingan nahu sebagai faktor motivasi. Manakala bagi kepentingan nahu sebagai strategi hafazan, responden menunjukkan persepsi sederhana tinggi. Dapatan ini memberikan indikator wujudnya kepentingan nahu Arab dalam pembelajaran hafazan al-Quran sebagai motivasi kepada pelajar tahfiz dan juga sebagai salah satu strategi menghafaz al-Quran
Mengapa guru pelatih bimbang untuk bertutur dalam kelas bahasa Arab?
Kebimbangan merupakan salah satu faktor yang amat mempengaruhi kemampuan pelajar semasa mempelajari bahasa asing, malah kemahiran bertutur dibuktikan oleh kajian lepas sebagai kemahiran yang paling banyak dipengaruhi oleh faktor ini. Dalam konteks kajian bahasa Arab, banyak dapatan yang menunjukkan kelemahan pelajar dalam menguasai kemahiran ini. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti punca kebimbangan dalam bertutur yang dialami oleh guru pelatih bahasa Arab di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam ketika mempelajari kemahiran bertutur. Seramai 11 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) yang sedang mengikuti kelas (BAMB3013) dipilih sebagai responden kajian. Kajian yang menggunakan pendekatan kualitatif ini memperoleh data melalui 66 buah catatan diari pelajar, yang kemudiannya dianalisis berdasarkan Teori Kebimbangan Kelas Bahasa. Dapatan kajian mendapati kebimbangan untuk bertutur melibatkan keresahan komunikasi, takut penilaian negatif, serta kebimbangan ujian. Kebimbangan ini berlaku berpunca dari dalam diri guru pelatih, bentuk aktiviti bertutur yang dijalankan serta tingkah laku yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dan juga pensyarah
[Mastery of The Phrase Al-Idhafah (Annex) Among Students of The University of Sultan Zainal Abidin] Penguasaan Frasa Al-Idhafah (Aneksi) dalam Kalangan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin
Proficient phrase mastery in a language is very important to further strengthen the mastery of the language. This is because, various aspects need to be considered before a phrase can be mastered either in writing or speech. Various studies have reported on students' weaknesses in phrase mastery. Thus, this study focuses on mastery in one type of noun phrase only, namely the phrase al-idhāfah or also known as annexation phrase. This descriptive quantitative study was conducted on 186 final year students, majoring in Islamic studies, Faculty of Contemporary Islamic Studies, Sultan Zainal Abidin University. Study data were collected through the implementation of a set of written test questions related to the phrase al-idhāfah. The findings show that the majority of students are at a low level (weak) in the mastery of the phrase al-idhāfah as a whole, either according to the division of marks, grades, level of mastery, and also according to the construct of questions that have been built. It is hoped that this study can be a source of ideas for researchers in further developing a more innovative teaching and learning industry in the future.
Keywords: phrase al-idhafah, annex, Arabic language, al-idhafah
Penguasaan frasa yang mantap dalam sesuatu bahasa adalah sangat penting bagi memperkukuhkan lagi penguasaan terhadap bahasa tersebut. Ini kerana, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu frasa itu dapat dikuasai sama ada dalam penulisan mahupun pertuturan. Pelbagai kajian telah melaporkan tentang kelemahan para pelajar dalam penguasaan frasa. Justeru, kajian ini memberi pemfokusan kepada penguasaan dalam satu jenis frasa nama sahaja iaitu frasa al-idhāfah ataupun juga dikenali sebagai frasa aneksi. Kajian kuantitatif yang bersifat deskriptif ini dijalankan ke atas 186 orang pelajar tahun akhir, jurusan pengajian Islam, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin. Data kajian dikumpul melalui pelaksanaan satu set soalan ujian bertulis berkaitan dengan frasa al-idhāfah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti pelajar berada pada tahap rendah (lemah) dalam penguasaan frasa al-idhāfah secara keseluruhannya, sama ada mengikut pembahagian markah, gred, tahap penguasaan, dan juga mengikut konstruk-konstruk soalan yang telah dibina. Kajian ini diharap dapat menjadi satu pencetus idea kepada pengkaji-pengkaji dalam memajukan lagi industri pengajaran dan pembelajaran yang lebih inovatif pada masa akan datang.
Kata kunci: frasa al-idhāfah/ frasa aneksi; bahasa Arab; al-idhāfah