1 research outputs found

    Model reruang magnitud kecerahan langit di Balai Cerap KUSZA, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)

    Get PDF
    Magnitud kecerahan langit merupakan antara aspek penting dalam bidang astronomi, terutama bagi cerapan astronomi optik yang memerlukan keadaan langit yang sangat gelap. Di Malaysia, terdapat banyak balai cerap rasmi dan persendirian yang digunakan bagi tujuan tersebut. Laporan kajian ini membincangkan berkenaan model taburan ruang (model reruang) bagi mendapatkan gambaran penuh magnitud kecerahan langit di sekitar Balai Cerap KUSZA (BCK) yang terletak di Kampung Merang, Setiu Terengganu. BCK dipilih dalam kajian ini kerana ia bukan sahaja merupakan lokasi rasmi bagi kerja-kerja pencerapan rukyah anak bulan baharu untuk penetapan takwim Islam (hilal), malah BCK juga menyediakan fasiliti bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penyelidikan berkaitan astronomi dan astrofizik. Kajian ini penting bagi memastikan kelestarian cahaya gelap di BCK dan kawasan sekitarnya adalah releven dengan keperluan semasa. Magnitud kecerahan langit diukur pada waktu malam menggunakan alat pengesan cahaya (SQM) di beberapa lokasi sekitar BCK yang kemudiannya dibandingkan dengan data simulasi satelit. Seterusnya teknik interpolasi menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dilakukan bagi menghasilkan peta model reruang kecerahan langit yang jelas menunjukkan kawasan langit gelap dan terang di BCK dan kawasan sekitarnya. Analisis data menunjukkan kewujudan beberapa lokasi langit cerah (penunjuk pencemaran cahaya) di sekitar kawasan BCK dengan nilai tertinggi adalah 16.35 mag arcsec−2 (3.115×10-2 cd m- ²) yang mungkin disebabkan oleh aktiviti manusia. Kecerahan langit di Balai Cerap KUSZA ialah 21.34 mag per arcsec−2 (3.144×10-4 cd m- ²) dan merupakan antara titik paling gelap dalam kawasan BCK. Secara keseluruhan, data menunjukkan kawasan sekitar balai cerap masih selamat daripada pencemaran cahaya yang keterlaluan. Walau bagaimanapun, pencemaran cahaya tidak terkawal akan mengganggu gugat aktiviti cerapan. Oleh itu, peta model reruang yang dihasilkan ini dijangka dapat membantu penyelidik astronomi optik untuk memantau kadar pencemaran cahaya di BCK bagi tujuan penyelidikan astronomi umumnya dan rukyah hilal secara khususnya di Malaysia
    corecore