Era Pascanormal merujuk kepada suatu tempoh perubahan yang ditandai dengan kemelut 3C iaitu chaos (keberantakan), complexity (kerumitan) dan contradiction (pertentangan). Kemelut tersebut menimbulkan ketidakpastian serta ketidakstabilan yang menjadi cabaran baharu dalam kehidupan manusia mencakupi aspek sosial, ekonomi dan politik. Perubahan ini turut memberi kesan yang besar terhadap lanskap pemikiran manusia termasuk kefahaman terhadap agama dan ketuhanan. Justeru artikel ini akan membincangkan kesan perubahan era pascanormal ini terhadap akidah umat Islam khususnya yang berhubung dengan akidah ketuhanan iaitu keimanan terhadap Allah SWT. Pendekatan kualitatif digunakan dengan menganalisa dokumen dari pelbagai sumber seperti buku, jurnal, artikel dan sebagainya. Hasil dari penelitian yang dilakukan mendapati era pascanormal memberi kesan dan membawa cabaran baru terhadap aliran pemikiran ketuhanan dan membuka laluan penyebaran fahaman sesat seperti kemunculan agnostisisme kesan dari relativisme, pluralisme dan liberalisme. Bagaimanapun dalam masa yang sama era pascanormal yang diwarnai oleh kepesatan perkembangan teknologi maklumat turut memberi peluang besar untuk penyebaran akidah Islam melalui pelbagai media digital. Keperluan kepada pengurusan akidah yang strategik yang dimainkan oleh institusi agama diharapkan dapat menangani kesan negatif era pascanormal terhadap akidah umat Islam
Is data on this page outdated, violates copyrights or anything else? Report the problem now and we will take corresponding actions after reviewing your request.