Lirik lagu merupakan salah satu jenis puisi yang berperanan untuk menyampaikan sebuah naratif atau pemikiran dalam sesebuah lagu serta mempunyai kaitan yang rapat dengan kehidupan manusia. Kaedah pendekatan dakwah yang ditonjolkan dalam lirik lagu sebenarnya dapat menimbulkan daya tarikan yang lebih mendalam tentang kesucian dan ketinggian agama. Pendekatan dakwah bukan sahaja dapat dilihat melalui lagu-lagu nasyid malah ia juga dapat dilihat menerusi lagu-lagu bergenre rock. Kajian ini akan meneliti dua buah lirik lagu yang dihasilkan oleh kumpulan rock Malaysia iaitu Lefthanded yang berjudul Seruan dan Alam & Pencipta. Kedua-dua buah lagu ini dipilih kerana ia membawa mesej dakwah yang jelas kepada masyarakat khususnya penggemar-penggemar muzik rock. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh manakah kedua-dua lirik lagu tersebut menekankan mesej dakwah yang selari dengan al-Quran. Dengan itu, kaedah kajian yang akan digunapakai dalam kajian ini ialah kaedah kualitatif dan Metodologi Kesusasteraan Islam melalui konsep pendekatan dakwah. Akhirnya, hasil kajian mendapati bahawa kedua-dua lirik lagu tersebut memberikan impak yang bermakna kepada kehidupan masyarakat apabila kita menghayati seni kata lagu tersebut secara mendalam. Hakikatnya, lagu-lagu Lefthanded mempunyai kesucian makna yang selari dengan al-Quran dalam penghasilan lirik yang selama ini telah dipandang negatif oleh masyarakat
Is data on this page outdated, violates copyrights or anything else? Report the problem now and we will take corresponding actions after reviewing your request.