British berusaha mengekalkan penguasaannya ke atas Singapura berasaskan
kepentingan ekonomi, keselamatan dan pertahanan di Asia Tenggara. Isu
keselamatan merupakan perkara utama dasar British dalam memastikan
kepentingan di Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu terjamin.
Perkembangan pengaruh Parti Komunis Malaya di Singapura membimbangkan
British terutama menerusi gerakan Barisan Bersatu Komunis (Communist United
Front). Pengaruh komunis di Singapura telah menular dalam kesatuan sekerja,
persatuan pelajar, pertubuhan wanita, pertubuhan budaya dan parti-parti politik.
Bagi menjamin keselamatan Singapura, British bertindak menjadikan Persekutuan
Tanah Melayu sebagai `buffer state’ yang akan bertanggungjawab ke atas faktor
keselamatan Singapura. Pada tahun 1959 apabila Singapura diberikan status
berkerajaan sendiri oleh British, satu badan keselamatan dibentuk iaitu Majlis
Keselamatan Dalam Negeri (ISC) yang terdiri daripada wakil-wakil British,
Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. British tidak mahu Singapura
dibiarkan diperintah secara bersendirian pada ketika pengaruh komunis begitu
kuat berkembang di Singapura. British menekankan faktor keselamatan Singapura
adalah tanggungjawab bersama antara Persekutuan Tanah Melayu, British dan
Singapura. Pada masa yang sama British mempunyai kepentingan yang begitu
tinggi ke atas pangkalan-pangkalan tentera mereka di Singapura dalam usaha
menyekat pengaruh komunis di Asia Tenggara. (Author's abstract