Persepsi dan masalah kemudahan infrastruktur di negeri Kedah

Abstract

Kemudahan infrastruktur merupakan salah satu prasyarat penting untuk pembangunan ekonomi khususnya bagi mengurangkan masalah kemiskinan dan jurang ekonomi diantara penduduk. Walau bagaimanapun, kajian dan perbincangan berkenaan pembangunan infrastruktur masih lagi mempunyai pelbagai kekurangan khususnya berkenaan dengan pembolehubah yang perlu dikaji seperti ukuran fizikal dan pertumbuhan serta masalah kepegunan data.Justeru kajian ini bertujuan untuk menentukan pertalian di antara persepsi terhadap kemudahan infrastruktur dan masalah penggunaan kemudahan infrastruktur. Objektif kedua ialah untuk menentukan pertalian antara persepsi terhadap kemudahan infrastruktur dengan taraf pendidikan, pekerjaan dan pendapatan.Kajian ini bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang persepsi terhadap kemudahan infrastruktur dan masalah penggunaan kemudahan infrastruktur. Pendekatan kuantitatif telah digunakan untuk pengutipan dan penganalisaan data.Tinjauan melalui borang kaji selidik telah dijalankan di kawasan Pendang dan Kubang Pasu, Kedah. Nilai Alfa Cronbach menunjukkan bahawa aras kebolehpercayaan adalah 0.69 bagi pembolehubah persepsi terhadap kemudahan infrastruktur dan 0.65 bagi pembolehubah masalah penggunaan kemudahan infrastruktur. Analisis korelasi dan regresi dijalankan ke atas data yang melibatkan 321 orang responden yang memberikan jawapan kepada kedua-dua pembolehubah tersebut melalui kaedah persampelan berstrata. Keputusan kajian menunjukkan bahawa persepsi responden terhadap kemudahan infrastruktur mempunyai pertalian secara negatif dengan masalah penggunaan kemudahan infrastruktur. Analisis regresi menunjukkan bahawa masalah penggunaan kemudahan infrastruktur boleh meramalkan persepsi terhadap kemudahan infrastruktur. Secara ringkasnya, terdapat perhubungan antara persepsi dengan masalah penggunaan kemudahan infrastruktur

    Similar works