30 research outputs found

    Membina kemahiran berfikir secara kritis dan holistik dalam kalangan pelajar menggunakan modul Edward de Bono

    Get PDF
    Tujuan kajian PTS ini dilakukan adalah bagi membina kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar tahun akhir Program Pengajian Bahasa Melayu, UKM. 2 daripada 9 HPP Program Pengajian Bahasa Melayu adalah berkait secara langsung dengan kemahiran berfikir. 2 HPP itu ialah HPP3 dan HPP6 yang menyatakan bahawa pelajar perlu mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran pengurusan maklumat dan kemahiran saintifik. Walau bagaimanapun, tiada satu kursus pun, baik yang ditawarkan di peringkat universiti, fakulti, pusat atau program pengajian yang menawarkan kursus tentang aspek ini. Penyelidikan ini akan cuba mengatasi kekurangan ini. Dalam penyelidikan PTS ini, empat bengkel kemahiran berfikir akan diadakan dalam kalangan pelajar tahun ketiga Program Pengajian Bahasa Melayu, iaitu dengan tujuan untuk membentuk kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar menggunakan modul Six Thinking Hats yang dikemukakan oleh Edward De Bono. Penyelidikan ini akan menggunakan model kajian tindakan yang dikemukakan oleh John Heron & Peter Reason sebagai kerangka penyelidikan. Model ini dikenali sebagai Model Cooperative Inquiry. Data kajian membuktikan bahawa empat bengkel yang diadakan telah berjaya membina kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar untuk menyelesaikan masalah pembelajaran khususnya dalam penulisan latihan ilmiah. Para pelajar juga didapati berupaya menggunakan kemahiran berfikir untuk menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan seharian mereka secara professional. Keputusan kajian memperlihatkan kepada kita bahawa kemahiran berfikir yang baik boleh dibentuk dalam kalangan pelajar menggunakan modul Six Thinking Hats yang dicadangkan oleh Edward de Bono

    Strategi komunikasi dalam kalangan murid pelbagai etnik

    Get PDF
    Fokus utama kajian ini adalah untuk menganalisis strategi semasa berkomunikasi dalam kalangan murid pelbagai etnik. Temu bual dan soal selidik berbentuk Tugas Penyempurnaan Wacana merupakan kaedah yang telah dipilih untuk mengumpul data. Kajian kes ini dijalankan di Sekolah Kebangsaan Sri Tebrau, Johor Bahru. 72 orang murid pelbagai etnik telah dipilih secara rawak sebagai pemaklum kajian. Skala Kesantunan Leech dipilih sebagai kerangka teori bagi kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid Melayu menggunakan pelbagai kata ganti nama diri semasa berkomunikasi. Kata ganti nama ‘aku – kau’ dan ‘saya – awak’ paling kerap diguna oleh murid Melayu berbanding murid bukan Melayu semasa berkomunikasi. Murid bukan Melayu pula lebih selesa menggunakan ‘saya – kamu’ dalam proses komunikasi. Masalah penggunaan kata ganti nama wujud dalam kalangan murid Melayu dan bukan Melayu, tetapi dalam situasi komunikasi yang berbeza-beza. Implikasi daripada kegagalan menggunakan kata ganti nama yang tepat semasa berkomunikasi boleh menggugat keharmonian dalam hubungan antara etnik. Pembelajaran kata ganti nama diri tidak seharusnya dilihat sebagai penguasaan dalam aspek bahasa sahaja, tetapi penegasan perlu diberikan dalam fungsi kata ganti nama diri sebagai satu strategi kesantunan semasa berkomunikasi

    Pemikiran belia Malaysia: pengaruh umur, etnisiti dan status ekonomi

    Get PDF
    Kajian ini telah dilakukan untuk membandingkan bentuk pemikiran belia yang berlainan tahap umur. Data kajian juga dapat menentukan pengaruh etnik terhadap bentuk pemikiran belia, dan juga dapat memperlihatkan pengaruh status ekonomi terhadap cara belia berfikir. Data kajian lapangan telah dikumpul menggunakan satu set borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Instrumen kajian telah dibentuk menggunakan Skala Likert. Kajian telah dilakukan di tiga kawasan iaitu Felda Trolak Selatan di Perak, Ramuan Cina di Melaka dan Bandar Baru Bangi di Selangor. 912 orang belia dari pelbagai tahap umur, etnik dan status ekonomi telah dipilih sebagai responden kajian. Dapatan kajian jelas menunjukkan tahap umur mempengaruhi cara belia berfikir. Dapatan turut menunjukkan terdapat perbezaan yang ketara dalam bentuk pemikiran belia yang berlainan etnik. Data kajian juga menunjukkan cara belia berfikir adalah berbeza disebabkan oleh perbezaan status ekonomi. Perbezaan pemikiran adalah disebabkan oleh pelbagai faktor, khususnya pemboleh ubah-pemboleh ubah yang menjadi fokus dalam kajian ini. Dapatan kajian dapat memberikan petunjuk yang berguna kepada para perancang dan pelaksana program intervensi dan pemerkasaan belia di Malaysia. Belia yang datang dari latar belakang kehidupan yang berbeza harus menerima bentuk intervensi dan latihan pemerkasaan yang berbeza. Jika faktor tahap umur, etnik dan status ekonomi dapat dipertimbangkan dan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan pelbagai program yang melibatkan belia, taklimat dan latihan yang diberikan kepada mereka akan memberikan kesan yang jauh lebih baik. Perbezaan tahap umur, etnik dan status sosio ekonomi telah menyebabkan perbezaan cara berfikir dalam kalangan belia Malaysia

    Pantun Melayu sebagai cerminan kebitaraan perenggu minda Melayu

    Get PDF
    Kajian ini dilakukan untuk melihat perenggu minda orang Melayu sebagaimana yang terpancar dalam pantun Melayu. Data kajian adalah berdasarkan pantun Melayu yang termuat dalam buku Kurik Kundi Merah Saga (2013) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan kaedah penganalisian teks. Daripada 5653 buah pantun yang terdapat dalam buku ini pengkaji telah memilih 110 pantun berdasarkan pengkategorian yang dibuat oleh penulis/penerbit buku ini. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan teori semantik kognitif yang dicadangkan oleh George Lakoff dan Mark Johnson (1980) sebagai landasan kajian. Dapatan kajian ini menunjukkan pemikiran Melayu amat terpengaruh oleh alam sekeliling iaitu alam fauna dan alam flora yang melatari kehidupan orang Melayu. Konsep berguru kepada alam jelas tercermin dalam penciptaan pantun Melayu. Dalam pantun yang dikaji, terdapat pelbagai metafora yang jelas menggambarkan perenggu minda orang Melayu tentang kasih sayang, adat, kiasan, nasihat, perantauan, jenaka, peribahasa, budi, agama, kepahlawanan dan juga perekonomian. Dapatan kajian ini akan membolehkan lebih difahami perenggu minda orang Melayu yang telah diwarisi zaman berzaman, dan tidak banyak berubah

    Profil pemikiran Banjar: satu kajian perbandingan antara Suku Banjar di Malaysia dan di Indonesia (Profile of thinking: a comparative study among Banjar in Malaysia and Indonesia)

    Get PDF
    Kajian ini cuba menyelidiki profil pemikiran Banjar dalam aspek sahsiah, pandangan terhadap kemajuan dunia, aspek keusahawanan dan kesetiaan pada negara. Kaji selidik telah dilakukan untuk memperolehi profil pemikiran mereka. Alat pengukuran sahsiah, pandangan terhadap kemajuan dunia, keusahawanan dan kesetiaan pada negara telah ditadbirkan kepada responden yang berketurunan Banjar seramai 300 orang. Responden terdiri dari 257 orang berketurunan Banjar di Malaysia dan 43 orang berketurunan Banjar di Indonesia. Melalui analisis statistik deskriptif didapati tahap pemikiran Banjar dari segi sahsiah berada pada tahap yang tinggi (78.02), manakala dari aspek pandangan terhadap kemajuan dunia berada pada tahap sederhana (67.12), aspek keusahawanan berada pada tahap tinggi (71.23), dan aspek kesetiaan pada negara pula turut berada pada tahap yang tinggi (87.25). Secara keseluruhan, indeks pemikiran Banjar berada pada tahap yang tinggi (75.96). Ujian t memperlihatkan perbezaan yang signifikan dari segi pandangan terhadap kemajuan dunia (t = 2.200, p<0.05) antara Banjar di Malaysia (min 85.37) dan di Indonesia (min 81.07). Demikian juga, ujian t memperlihatkan perbezaan yang signifikan dari segi keusahawanan (t = 8.542, p<0.05) antara Banjar di Malaysia (min 39.61) dan di Indonesia (min 31.71). Namun dari segi sahsiah dan kesetiaan pada negara, ujian t menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan antara Banjar di Malaysia dan di Indonesia. Dengan menggunakan ujian ANOVA dua hala dan ANOVA tiga hala, didapati wujud perbezaan tahap sahsiah antara negara, tempat tinggal dan jantina (F = 6.728, p <0.05), dan dengan ujian ANOVA dua hala didapati terdapat perbezaan tahap keusahawanan antara negara dan tempat tinggal (F = 7.818, p <0.05), juga perbezaan tahap kesetiaan yang signifikan mengikut negara dan tempat tinggal (F = 7.738, p <0.05). Pengkaji berharap dapatan kajian ini dapat memberikan sumbangan idea untuk meningkatkan pemikiran Banjar, dan seterusnya memajukan lagi masyarakat Banjar di seluruh Nusantara

    Penerapan komunikatif dalam pengajaran bahasa Melayu: kajian kes guru cemerlang

    Get PDF
    Kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti bagaimanakah amalan komunikatif berdasarkan prinsip komunikatif Littlewood telah diterapkan dalam pengajaran bahasa Melayu oleh guru cemerlang. Subjek kajian merupakan seorang guru cemerlang bahasa Melayu sekolah rendah di negeri Terengganu yang berpengalaman selama 25 tahun. Pengkaji menggunakan reka bentuk kajian kualitatif dengan melakukan pencerapan terhadap pengajaran guru cemerlang. Pengkaji turut melakukan temu bual dan penganalisisan dokumen. Pengkaji menganalisis data cerapan dan dokumen berstruktur menggunakan kod penerangan. Data temu bual pula ditranskripsikan terlebih dahulu sebelum diberi kod penerangan. Hasil kajian menunjukkan guru cemerlang yang dikaji telah mengamalkan kelima-lima prinsip amalan komunikatif dalam perancangan dan pelaksanaan pengajarannya. Kelima-lima prinsip amalan komunikatif tersebut ialah; (1) bahasa dipelajari dalam konteks yang bermakna, (2) bahasa yang digunakan merupakan sebuah teks atau wacana yang merujuk kepada situasi yang sebenar, (3) PdP disesuaikan dengan keperluan dan minat murid, (4) penggunaan bahasa untuk berkomunikasi memerlukan latihan kemahiran komunikatif dan (5) guru berperanan sebagai fasilitator, pengurus, pendorong, dan penasihat. Dapatan juga menunjukkan wujudnya penerapan amalan komunikatif oleh guru cemerlang dalam pengajaran bahasa Melayu dalam ketiga-tiga instrumen kajian yang digunakan. Kajian ini memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya prinsip komunikatif diterapkan dalam pengajaran bahasa Melayu. Penerapan amalan komunikatif dalam pengajaran bahasa Melayu akan membolehkan kita merealisasikan matlamat pendidikan bahasa Negara, iaitu membina keterampilan berbahasa dan berkomunikasi dalam kalangan murid

    Hambatan memahami bahasa: satu penelitian ke atas teks berita dalam talian berbahasa Indonesia, Tempo.Co

    Get PDF
    Bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia, tergolong dalam satu keluarga bahasa yang sama iaitu Austronesia. Namun, kesan pergolakan politik semasa penjajahan Inggeris-Belanda, sehinggalah selepas kemerdekaan kedua-dua buah negara, Bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia Indonesia berkembang mengikut acuan masing-masing, sehingga wujud perbezaan antara kedua-duanya. Perbezaan ini kadang-kala menimbulkan hambatan dalam komunikasi antara penutur kedua-dua bahasa. Dari segi wacana tulisan contohnya, penutur Bahasa Melayu di Malaysia dikatakan menghadapi kesukaran dalam memahami teks dalam Bahasa Indonesia. Sehubungan itu, makalah ini bertujuan untuk membincangkan hambatan dalam memahami Bahasa Indonesia. Objektif utama penelitian ini adalah untuk mengenal pasti dan menghuraikan aspek bahasa yang menjadi hambatan dalam memahami Bahasa Indonesia. Untuk tujuan tersebut, analisis dilakukan ke atas teks berita daripada portal berita dalam talian Indonesia iaitu Tempo.Co. Teks berita dikutip daripada pelbagai ruangan yang disiarkan dalam Tempo.Co, antara Jun hingga Julai 2015. Hasil penelitian mendapati bahawa terdapat empat aspek perbezaan yang menjadi hambatan dalam memahami Bahasa Indonesia iaitu perbendaharaan kata, imbuhan, akronim dan kata pinjaman

    Application of rhetorical styles as a determinant of the effectiveness of oral communication in public lectures

    Get PDF
    One of the branches of knowledge that has focused on the verbal activities and speaking is rhetoric. This study aims to explore the strength of rhetoric in public lectures. This qualitative study uses four texts of distinguish lectures as the corpus of the study. Data were analyzed using models presented by Corbett (1999) using the theory of Aristotle’s Rhetoric. This study uses content analysis method in analyzing data. Spontaneous speech texts were analyzed based on 19 features of the Schema Model and 17 features of the Trope Model. The study has demonstrated that the repetition scheme is more dominating than other rhetorical styles. The findings also indicate that the uses of various rhetorical styles have contributed greatly in the making of a powerful speech. In addition, the study shows that the rhetorical styles found in lectures or talks is a skill that can be trained and taught, in determining the integrity of the speakers in helping to shape the character of the nation. The application of rhetorical styles in speeches also helps change the public’s ways of thinking and actions. The diversity in rhetorical styles shows that rhetorical skills can help improve communication skills and further, face the challenges of the 21st century. Data clearly shows that rhetorical styles is an effective tool in delivering messages to the public, and it is a skill that must be acquired by all public speakers such as politicians, religious officers, social workers and others involved in communications with the public

    Kajian perbandingan sikap dan kecekapan komunikatif Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid Melayu bandar dan luar bandar

    Get PDF
    Kajian terdahulu mendapati bahawa sikap penutur terhadap sesuatu bahasa dapat dikaji berdasarkan kedudukan geografi penutur, di samping faktor seperti budaya, psikologi dan latar belakang sosial penutur. Sehubungan itu, makalah ini bertujuan untuk menjelaskan sikap murid-murid Melayu bandar dan luar bandar terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu. Kajian juga bertujuan untuk membandingkan kecekapan komunikatif bahasa Melayu murid-murid tersebut. Untuk tujuan tersebut, pendekatan statistik deskriptif dan inferensi digunakan kepada 421 orang responden yang berumur 11 tahun. Instrumen yang digunakan ialah soal selidik dan Set Ujian Kecekapan Komunikatif Bahasa Melayu. Data kajian menunjukkan bahawa peratusan murid Melayu luar bandar yang menganggap Mata Pelajaran Bahasa Melayu sebagai sangat penting adalah lebih tinggi berbanding murid Melayu bandar. Peratusan murid Melayu luar bandar yang minat terhadap bahasa Melayu disebabkan mata pelajaran tersebut mudah adalah lebih tinggi daripada peratusan murid bandar. Sementara itu, peratusan murid Melayu bandar yang tidak menyukai bahasa Melayu disebabkan mudah, lebih tinggi berbanding peratusan murid luar bandar. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa peratusan peningkatan berbahasa Melayu murid Melayu bandar lebih dipengaruhi oleh ibu bapa dan keluarga berbanding guru-guru, rakan dan masyarakat. Min kecekapan komunikatif bahasa Melayu murid Melayu bandar ialah 30.89, manakala min murid Melayu luar bandar ialah 32.15. Ujian t menunjukkan perbezaan min markah kecekapan komunikatif bahasa Melayu (p=.103) bagi kedua-dua kumpulan murid tersebut, dan hal ini didapati tidak signifikan

    Melahirkan warga yang berketerampilan bahasa: kajian hubungan antara pengetahuan dengan amalan komunikatif dalam kalangan guru Bahasa Melayu

    Get PDF
    Kajian ini dilakukan untuk menentukan hubungan antara pengetahuan komunikatif dengan amalan ataupelaksanaan komunikatif guru bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah di Terengganu. Sampel kajian terdiri daripada 226 orang guru bahasa Melayu yang sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Pengkaji menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan dan kolerasi. Item-item soal selidik yang menggunakan Skala Likert telah dibina bagi setiap pemboleh ubah. Data yang diperoleh diproses menggunakan perisian Amos 16.0. Dapatan kajian menunjukkan hubungan antara tahap pengetahuan komunikatifdan amalan komunikatif guru bahasa Melayu sekolah rendah adalah pada tahap sederhana iaitu min 3.04 danmin 2.95. Dapatan daripada ujiankolerasipula menunjukkan bahawaterdapat hubungan yang sederhana antara pengetahuan komunikatif dengan amalan komunikatif guru bahasa Melayu sekolah rendah dengan nilai r=0.61. Hal ini dijelaskankan oleh Guilfold yang menyatakan koefisien r >0.5 – 0.75 adalah menunjukkan hubungan yang sederhana antara dua pemboleh ubah. Ini bermakna tahap pengetahuan komunikatif yang sederhana mempunyai hubungan yang sederhana dengan tahap amalan atau pelaksanaan komunikatif dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah rendah.Ini juga bermaksud semakin tinggi tahap pengetahuan komunikatif guru, semakin tinggi juga amalan atau pelaksanaan komunikatif
    corecore