Meneroka pengalaman keterlibatan belia dalam kerjaya usahawan sosial di Lembah Klang, Malaysia

Abstract

Kerjaya sebagai usahawan sosial telah menarik kalangan belia untuk menceburi dalam bidang aktiviti keusahawanan sosial yang agak baru di Malaysia. Usahawan sosial mempunyai dua peranan yang besar dalam mengalas kerjaya yang berisiko ini. Dimana usahawan sosial perlu menjalankan aktiviti perniagaan untuk mendapatkan profit untuk digunakan mengatasi masalah sosial dan pada masa yang sama juga, usahawan sosial perlu menyelesaikan masalah sosial dengan menggunakan medium organisasi yang dipanggil perusahaan sosial. Walau bagaimanapun, aktiviti keusahawanan sosial di Malaysia masih lagi pada tahap permulaan, akan tetapi terdapat perkembangan yang positif penglibatan kalangan belia yang memilih kerjaya sebagai usahawan sosial. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan untuk meneroka pengalaman keterlibatan belia dalam kerjaya usahawan sosial dalam konteks Malaysia, supaya pengalaman tersebut tidak hanya berada pada diri usahawan sosial sahaja. Kajian ini mempunyai empat persoalan kajian iaitu, 1) Apakah proses dalam membangunkan kerjaya sebagai usahawan sosial belia?; 2) Mengapa kerjaya sebagai usahawan sosial menarik minat belia?; 3) Bagaimana usahawan sosial belia membangunkan kerjaya mereka?; dan 4) Apakah cabaran yang dihadapi sebagai usahawan sosial belia? Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif, iaitu lebih spesifiknya menggunakan pendekatan naratif dalam meneroka pengalaman keterlibatan belia dalam kerjaya usahawan sosial. Sejumlah lapan orang usahawan sosial belia telah terlibat dalam kajian ini setelah mencapai titik tepu. Kaedah pengumpulan data yang digunakan adalah menerusi pemerhatian oleh pengkaji, sesi temu bual semi berstruktur dan analisis dokumen. Seterusnya, data yang diperoleh telah dianalisis dengan menggunakan teknik constant comparative iaitu analisis data sehingga mencapai titik ketepuan dalam pembentukan kod, kategori dan tema telah dilakukan bagi menjawab setiap persoalan kajian. Dapatan kajian mendapati terdapat enam laluan untuk menjadi usahawan sosial, iaitu melalui 1) program latihan, 2) pertandingan geran, 3) sokongan organisasi bukan kerajaan (NGO), 4) sokongan keluarga, 5) sokongan rakan dan 6) sokongan majikan. Kajian ini juga mendapati kecenderungan belia menceburi bidang aktiviti keusahawanan sosial disebabkan mereka 1) memperoleh motivasi dari persekitaran, 2) memiliki minat dalam aktiviti keusahawanan sosial dan 3) juga keinginan tinggi untuk membantu komuniti. Walaupun usahawan sosial belia ini terdiri daripada latar belakang yang pelbagai, mereka telah berjaya membangunkan kerjaya mereka sebagai usahawan sosial. Proses pembangunan kerjaya sebagai usahawan sosial dapat dipecahkan kepada lima tema iaitu, 1) mengukuhkan jaringan sosial melalui aktiviti keusahawanan sosial, 2) mendapatkan informasi yang berkaitan dengan aktiviti keusahawanan sosial, 3) menggunakan pengalaman kerjaya yang dimiliki, 4) mendapat galakan yang berterusan untuk memulakan aktiviti keusahawanan sosial dan 5) membentuk karakter sebagai usahawan sosial. Kelima – lima elemen ini dilihat membantu usahawan sosial belia ini dalam memperkembang kerjaya mereka. Semasa melaksanakan aktiviti keusahawanan sosial dan juga memperkembang kerjaya mereka sebagai usahawan sosial, mereka turut menghadapi pelbagai cabaran. Antara cabaran yang dihadapi oleh usahawan sosial dalam kalangan belia ini adalah 1) peralihan kerjaya untuk menjadi usahawan sosial, 2) halangan untuk memulakan aktiviti keusahawanan sosial, 3) kesukaran memampankan perusahaan sosial, dan 4) kelemahan dalam kerja berkumpulan. Dapatan kajian ini dapat membantu pihak – pihak dan agensi – agensi berkepentingan dalam memperkasakan aktiviti keusahawanan sosial di Malaysia. Implikasi daripada kajian ini juga diharap dapat membantu dalam memberi panduan dan inspirasi kepada individu yang mempunyai minat dalam bidang ini. Secara tidak langsung, kajian ini dapat membantu bakal – bakal usahawan sosial dari segi membuat persiapan dalam memperlengkapkan diri dengan elemen – elemen yang diperlukan sebelum membuat keputusan dalam pemilihan kerjaya sebagai usahawan sosial

Similar works

Full text

thumbnail-image

Universiti Putra Malaysia Institutional Repository

Provided a free PDF
oai:psasir.upm.edu.my:77539Last time updated on 5/5/2020View original full text link

Having an issue?

Is data on this page outdated, violates copyrights or anything else? Report the problem now and we will take corresponding actions after reviewing your request.