Isu utama yang dibangkitkan dalam kajian ini adalah mengenai isu kesejahteraan
hidup masyarakat ekoran transformasi yang berlaku di Pekan Parit Raja dan
kesannya. Transformasi pembangunan yang berlaku di pekan kecil pada asasnya
menunjukkan pencapaian positif dalam pelbagai sudut mencakupi perkembangan
ekonomi, perindustrian, prasarana dan perumahan. Namun turut memberi kesan
kepada persekitaran fizikal. Kesan daripada keadaan itu turut membawa ke arah
kemerosotan serta memberi tekanan yang kuat terhadap kesejahteraan hidup
masyarakat setempat. Objektif kajian ini ialah (i) meninjau perkembangan
pembangunan di Pekan Parit Raja, (ii) mengenalpasti perubahan sosio ekonomi
penduduk setempat, (iii) mengenalpasti keperluan penduduk setempat mengikut
perkembangan semasa dan (iv) membentuk indeks penunjuk kesejahteraan hidup
bagi masyarakat Pekan Parit Raja. Skop kajian tertumpu di Pekan Parit Raja dengan
tumpuan terhadap transformasi pembangunan yang dialami dari segi perkembangan
fizikal, sosial dan ekonomi. Responden yang terpilih terdiri daripada wakil Pihak
Berkuasa Tempatan, wakil komuniti dan masyarakat setempat. Kajian dijalankan
berdasarkan kepada pengumpulan data primer dan sekunder. Sejumlah 367
responden telah dipilih secara persampelan rawak bersrata. Data yang dikumpul telah
dianalisis menggunakan program SPSS. Analisis kajian mendapati perubahan ruang
ekonomi yang berlaku di Pekan Parit Raja adalah sangat ketara. Hasil kajian
menunjukkan keluasan had pembangunan di Pekan Parit Raja telah meningkat
sebanyak 2.51% antara tahun 1998 sehingga tahun 2003 dan tertinggi berbanding
lima (5) bandar utama lain. Faktor pembangunan sosio ekonomi yang positif
menyebabkan unjuran penduduk dijangka mencapai sehingga 9.9% sehingga tahun
2020. Sebanyak 53.8% responden telah berjaya meningkatkan pendapatan sehingga
hampir sekali ganda dalam tempoh 20 tahun. Sebahagian besar responden pula
berkemampuan dari segi pemilikan perumahan dan kereta masing-masing dengan
peningkatan sehingga 86.6% dan 98.0% pada sekitar tahun 2010. Ianya sangat
berbeza dengan 20 tahun lepas. Walau bagaimanapun, 72.5% responden menyatakan
beberapa keperluan perlu ditambah atau diperbaiki dengan jalan raya merupakan
keperluan utama. Pada masa yang sama, 75.7% responden menyatakan jenis
keperluan yang paling penting perlu disediakan adalah perpustakaan awam. Dapatan
keseluruhan kajian akhirnya telah membentuk indeks penunjuk kesejahteraan hidup
dari aspek ekonomi, kualiti perumahan, keharmonian sosial dan alam sekitar kesan
transformasi pembangunan ke atas kesejahteraan hidup masyarakat setempat.
Beberapa cadangan telah dikemukakan agar pembangunan yang membawa
perubahan kepada sosio ekonomi dan persekitaran seharusnya mengambil kira
kesejahteraan hidup masyarakat dan kelestarian alam sekitar untuk mencapai kualiti
hidup yang lebih baik di masa akan datang
Is data on this page outdated, violates copyrights or anything else? Report the problem now and we will take corresponding actions after reviewing your request.